GST akan dilaksanakan semula selepas kajian terperinci dilakukan

Kerajaan hanya akan melaksanakan semula GST selepas kajian terperinci dilakukan.
Kerajaan hanya akan melaksanakan semula GST selepas kajian terperinci dilakukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hanya akan melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas kajian terperinci dilakukan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd Rahim Bakar berkata, walaupun diakui ia merupakan sistem percukaian yang komprehensif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun kerajaan mengambil iktibar perkara yang berlaku sebelum ini sehingga menimbulkan pelbagai polemik.

“Sememangnya GST ini merupakan satu sistem percukaian yang komprehensif, tetapi pada masa yang sama ia turut mempunyai kelemahan dalam aspek pelaksanaan, oleh itu kerajaan akan melakukan kajian yang lebih terperinci.

“Mungkin kelemahan seperti soal bayaran balik sehingga menimbulkan kesan kepada indeks harga pengguna menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Eksesais (Pindaan) 2020 di Dewan Negara pada Isnin.

Dalam pada itu, Abd Rahim turut melahirkan keyakinan sekiranya semua kelemahan itu dapat diatasi, GST akan dapat dilaksanakan kembali dan akan mendapat sokongan pelbagai pihak sekali gus akan meningkatkan kembali pendapatan kerajaan.

Katanya, kerajaan memandang serius tentang kegiatan ekonomi gelap, menyebabkan ketirisan hasil sebanyak RM300 bilion seperti yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Othman Aziz.

“Kerajaan amat mengambil berat soal ini dan akan memastikan ia dapat diatasi untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa peruntukan undang-undang diperketatkan dan agensi penguat kuasa di koordinasi untuk memastikan usaha penguatkuasaan dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan ketirisan,” katanya.

Ekonomi gelap merupakan aktiviti ekonomi yang tidak direkodkan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengutip cukai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!