304 kes positif direkodkan di asrama pekerja Westlite
JOHOR BAHRU - Asrama pekerja Westlite di Taman Perindustrian Tampoi Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatatkan sebanyak 304 kes positif Covid-19 sehingga Ahad.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, PKPD di asrama pekerja terbabit telah diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat berikutan kes Covid-19 yang meningkat dalam kalangan penghuni di situ susulan Kluster Tampoi Jaya.
"Sehingga Ahad, terdapat 304 kes positif daripada 3,116 penghuni di asrama tersebut.
"PKPD ini berkuat kuasa bermula 26 Disember lalu sehingga 8 Januari 2021 membabitkan 231 unit rumah dengan anggaran sebanyak 3,116 orang penghuni di asrama tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut Vidyananthan, terdapat sebanyak 194 kes baharu Covid-19 dilaporkan di negeri ini pada Ahad iaitu 123 kes daripada kluster-kluster sedia ada, 48 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 23 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.
"Terdapat dua kluster baharu yang dilaporkan iaitu Kluster Pagar Siput di Kota Tinggi melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) yang dikesan positif hasil saringan bergejala pada 23 Disember lalu.
"Kluster kedua pula adalah Kluster Sungai Redan melibatkan daerah Kluang dan Kota Tinggi.
"Ini menjadi jumlah kluster aktif di negeri ini sebanyak 23 kluster antaranya Kluster Jalan Timah (mukim Plentong), Kluster Tembok Gajah (mukim Kluang) dan Kluster Utama Rini (mukim Pulai)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!