Kembara solo Nurul Izah bantu asnaf
KUANTAN - Seorang 'lady bikers' dari kelab motosikal berkuasa tinggi, Daz Bikers melakukan kembara solo ke seluruh Semenanjung sejak Sabtu dalam usaha menyalurkan sumbangan amal kepada golongan yang memerlukan.
Nurul Izah Abd Wahab, 38, berkata, jelajah kembara solo selama tiga hari dua malam itu bermula dari Temerloh Titik Tengah Semenanjung Malaysia (TTMS) dan berakhir di daerah ini pada Isnin.
"Dalam jelajah kembara solo ini, saya singgah di beberapa tempat terpilih untuk menyampaikan sumbangan amal.
"Sumbangan berupa wang tunai akan disampaikan kepada golongan asnaf," katanya dalam kenyataan di sini.
Nurul Izah yang mengusahakan sebuah restoran di Kuantan berkata, beliau mengambil kesempatan sempena cuti Krismas untuk melakukan program kembara berkenaan.
Katanya, beliau turut berterima kasih kepada Trizure International Sdn Bhd kerana menaja perbelanjaannya sepanjang melakukan kembara tersebut.
"Sebagai pengembara wanita, cabaran paling besar buat saya sudah pastinya berkaitan dengan aspek keselamatan.
"Oleh itu, perancangan memainkan peranan sangat penting untuk memastikan pengembaraan berjalan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!