Covid-19: Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 1,594 kes harian baharu Covid-19 dicatatkan negara hari ini, dengan tiga kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tambahan kes harian berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara mencecah 106,690 kes dengan kes yang masih aktif sebanyak 20,643 kes.

Dalam satu kenyataan berhubung perkembangan Covid-19, hari ini katanya, Selangor merupakan negeri dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 697 kes, diikuti Kuala Lumpur (194), Johor (191) dan Sabah (157).

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 108 daripada jumlah kes baharu adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan Imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (42 kes), Kluster Bakti (34 kes), Kluster Pagar Siput (enam kes), Kluster Tembok (enam kes), Kluster Penjara Seberang Perai (lima kes), Kluster Pagar Bentong (lima kes), Kluster Tembok Gajah (empat kes), Kluster Penjara Sandakan (tiga kes), dan Kluster Kolam Air (tiga kes).

Menurut Dr Noor Hisham, tiga daripada keseluruhan jumlah kes baharu hari ini merupakan kes import.

Katanya, 1,181 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 85,592 kes.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Perak, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana empat daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

Dr Noor Hisham berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Jalan Gadang iaitu kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 13 Disember melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 28 Disember, sejumlah 375 individu telah disaring, dan 13 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua, Kluster Menara Sri yang juga kluster tempat kerja melibatkan daerah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-99,803) telah dilaporkan positif pada 24 Disember melalui saringan individu bergejala dan 14 kes telah dikesan positif.

Kluster berikutnya iaitu Kluster Bukit Pasir (kluster tempat kerja) melibatkan daerah Muar di Johor dan sehingga 28 Disember, sembilan kes telah dikesan positif.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster keempat iaitu Kluster Pintu Geng pula dikesan di daerah Kota Bharu, Kelantan dan sejumlah 21 kes telah dikesan positif.

Sementara itu, kluster Putra 15 (kluster tempat kerja) pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan lapan individu dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Artikel Berkaitan: