90 peratus mangsa rogol gadis bawah umur

Laporan media berkaitan kes rogol melibatkan mangsa bawah umur.
Laporan media berkaitan kes rogol melibatkan mangsa bawah umur.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] LEWAT kebelakangan ini kes jenayah seksual terhadap gadis-gadis remaja Malaysia semakin hebat diperkatakan. Apatah lagi, apabila mangsa diperdaya oleh suspek-suspek yang berstatus selebriti dan bintang.

Lebih menakutkan, segalanya kini bermula dari hujung jari apabila media sosial baik WhatsApp, WeChat, Instagram, Tik Tok dan Beego menjadi platform si suspek menggoda manakala si mangsa pula 'cair' dengan ayat semanis gula.

Tidak ketinggalan, kanak-kanak bawah umur juga mudah menjadi mangsa penjenayah seksual kerana mangsa muda ini mudah dieksploitasi dan dikuasai pemangsa bernafsu binatang.

Ikuti laporan khas wartawan Rosalwani Che Soh mengenai trend jenayah seksual di Malaysia hari ini.

SHAH ALAM - Ibu bapa di Malaysia wajar berasa bimbang sekali gus perlu memantau lebih ketat pergerakan anak-anak remaja masing-masing memandangkan 90 peratus mangsa dalam jenayah rogol dan cabul adalah gadis bawah umur.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kes rogol dan cabul kebiasaannya melibatkan golongan gadis berumur seawal 14 hingga 18 tahun.

Menurut Fadzil, walaupun perbuatan berkenaan dilakukan oleh suspek secara paksa atau sukarela terhadap mangsa, namun ia tetap dikategorikan sebagai kesalahan rogol di bawah peruntukkan undang-undang seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Fadzil berkata, melalui statistik yang diperoleh pihaknya, jumlah kes rogol dan cabul tahun ini berbanding tahun sebelumnya menunjukkan penurunan sedikit antara Januari hingga November iaitu bagi kes rogol 315 kes tahun lalu dan 304 kes pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan kes cabul apabila dalam 11 tahun ini kes yang dicatatkan sebanyak 180 kes manakala 211 kes direkodkan antara Januari hingga November tahun lalu.

"Walaupun ia menunjukkan penurunan, namun kebanyakan gadis yang menjadi mangsa ini diperangkap suspek yang kebiasaannya mengenali antara satu sama lain namun tidak akrab pada mulanya.

"Mangsa kebanyakannya diperangkap suspek menggunakan medium media sosial dan berkenalan dengan lebih dekat dengan menjemput mangsa keluar sebelum melakukan jenayah seksual terhadap mangsa," katanya kepada Sinar Harian baru baru ini.

Fadzil turut mendedahkan dalam beberapa kes selebriti terkenal, mangsa juga 'diayat' menerusi pesanan terus 'Direct Message' (DM) di Instagram.

“Modus Operandi (MO) suspek adalah dengan mempelawa mangsa keluar makan dan kemudian memperdaya mangsa untuk berjumpa dengannya menggunakan popularitinya.

"Suspek kemudiannya akan memujuk mangsa pulang bersamanya dan ikut ke rumah sebelum mangsa diperlakukan dengan perbuatan berunsur seksual," katanya lagi.

Datuk Fadzil Ahmat
Datuk Fadzil Ahmat

Fadzil menambah, golongan gadis remaja perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan individu yang dikenali melalui media sosial.

"Jika suspek ajak bertemu, perlu berteman dan maklumkan pergerakan kepada ibu dan bapa bagi mengelak kejadian tidak diingini,"katanya.

Fadzil dalam nada tegas turut menasihatkan supaya mangsa perlu berani tampil membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan dan polis akan jalankan siasatan di samping dengan laporan yang dibuat suspek juga akan ditahan dan jika didapati bersaloah maka suspek akan dituduh.

"Jika ada gadis remaja yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan, jangan takut dan terus tampil segera buat laporan polis bagi mendapatkan bukti untuk siasatan dan pendakwaan," katanya.

INFO

Statistik kes rogol dan cabul di Selangor (Januari-November)

Rogol tahun 2019 = 315 kes

Rogol tahun 2020 = 304 kes

Cabul tahun 2019 = 211 kes

Cabul tahun 2020 = 180 kes

- Menurut statistik Polis Selangor kebanyakan kes rogol di Selangor 90 peratus adalah melibatkan mangsa bawah umur.

- Peruntukkan di bawah undang-undang sek 376 (1) KK sekiranya mangsa dibawah umur 16 tahun sama ada di bawah kerelaan atau tidak tetap dikategorikan sebagai kesalahan rogol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!