Perabot palet hasil kerja tangan abang bomba
KUALA TERENGGANU - Siapa sangka, di sebalik kecekapan mereka menangani kes kebakaran dan melakukan kerja penyelamat, tangan yang sama juga berupaya menghasilkan perabot menggunakan kayu palet.
Bagi tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Terengganu iaitu Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Rozi Sidek, Pegawai Bomba (PB) Zamri Zahmad dan PB Ghazali Mahmod, kemahiran hasil kerja tangan mereka dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.
Bermula awal November lalu, mereka sudah berjaya menghasilkan set perabot yang terdiri daripada sebuah meja, enam kerusi dan tiga penunjuk arah dalam masa dua minggu.
Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, idea untuk menghasilkan perabot daripada kayu palet itu datang sewaktu beliau membaca majalah dan melayari YouTube.
“Sebenarnya, kayu palet ini kita peroleh secara percuma daripada Bank Negara. Memandangkan anggota bomba mempunyai banyak kemahiran, apa salahnya kita manfaatkan kayu palet ini dengan menghasilkan sesuatu seperti perabot.
“Ia bukan hanya menonjolkan bakat terpendam anggota bomba, tetapi secara tidak langsung dapat mengisi masa lapang yang ada.
“Bagaimanapun, daripada segi penugasan pula, ia tidak bermakna mereka ini dikecualikan daripada operasi, sebaliknya mereka akan turut ke lokasi kejadian sekiranya ada kes kecemasan kerana penghasilan perabot hanyalah aktiviti sampingan mereka,” katanya.
Jelas Rozizah, dengan bermodalkan hanya RM70, mereka membeli peralatan pertukangan dan hasil kreativiti tiga anggota itu nyata berjaya menjimatkan wang jabatan memandangkan harga set perabot itu di pasaran mampu mencecah lebih RM1,000.
Beliau turut mengalu-alukan sekiranya ada balai bomba lain yang berminat untuk mendapatkan perabot palet itu, namun sedikit bayaran akan dikenakan bagi menampung kos untuk membeli peralatan pertukangan dan upah kepada tiga anggota berkenaan.
Sementara itu, Rozi yang juga salah seorang anggota yang menghasilkan perabot berkenaan berkata, perabot yang dihasilkan bergantung kepada kesesuaian kayu palet memandangkan saiznya yang tidak sama.
“Pada peringkat awal, kita ambil masa selama lima hari untuk membuat kerusi tapi lama-kelamaan, kita lebih mahir dan berjaya menyiapkan kesemuanya dalam masa dua minggu.
“Kami buat kerusi ini pada waktu lapang sahaja ketika kami bekerja pada waktu siang. Memang puas hati apabila melihat hasilnya kerana ia juga seakan-akan terapi untuk kami memandangkan tugas sebagai anggota bomba ini tidaklah sepenuhnya ada operasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!