Suami culas beri nafkah aniaya keluarga

No Image Caption
A
A
A

SELAIN poligami dan hal-hal lain berkaitan rumah tangga, isu suami culas memberi nafkah kepada isteri merupakan antara isu utama dalam perkahwinan sehingga boleh menyebabkan perceraian.

Ada suami yang menganggap bahawa tanggungjawab mereka sekadar menyediakan tempat berlindung iaitu rumah untuk isteri dan anak-anak tetapi segala barang keperluan, bayaran tuisyen anak dan lain-lain ditanggung si isteri.

Lebih menyedihkan, pakaian isteri dan keperluan peribadi mereka langsung tidak diambil tahu oleh si suami. Situasi itu kebanyakannya berlaku kepada isteri yang bekerjaya dan mempunyai pendapatan tetap.

Ia diakui oleh Pengerusi Persatuan Sahabat Wanita Prihatin Terengganu (SWAP), Wan Azliana Wan Adnan. SWAP merupakan badan bukan kerajaan yang berjuang untuk memberi perkhidmatan pusat sehenti kepada wanita dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dari segi perundangan, perubatan dan kaunseling.

Beliau yang juga peguam cara berkata, kebanyakan perceraian bermula daripada masalah kewangan. Biasanya isteri yang bekerja selalu berdepan dengan keadaan itu kerana mereka secara tidak langsung menanggung tanggungjawab suami tanpa si suami menyedarinya.

Kongsinya lagi, sekiranya berlaku perceraian, masih ada golongan ibu yang perlu menanggung sebahagian nafkah anak-anak walaupun itu bukanlah tanggungjawab mereka

Rupa-rupanya masih ada lelaki yang bergelar suami tidak faham atau masih samar-samar tanggungjawab sebagai suami. Dalam soal ini, pihak mana hendak dipersalahkan? Adakah perlu dikaji semula isi kandungan kursus perkahwinan?

Bagi penulis sebagai wakil isteri berkerjaya, hanya berharap suami tahu meskipun berlaku perceraian, tugas memberi nafkah kepada anak tetap menjadi tanggungjawab mereka dan tidak akan sesekali putus disebabkan perceraian itu seperti ditetapkan dalam Islam.

Tanggungjawab

Artikel Berkaitan:

Hentikanlah menganiaya si isteri yang masih ‘sakit’ memegang status ibu tunggal. Golongan bapa harus sentiasa ingat bahawa tanggungjawab memberi nafkah terletak di atas bahu mereka sehinggalah anak-anak berusia 18 tahun atau sehingga mereka tamat belajar ijazah pertama.Tiada istilah share responsibility selagi si bapa mampu dari segi fizikal dan kewangan, malah sekiranya bapa tidak berupaya menanggung nafkah anak-anak, tanggungjawab itu akan diserahkan kepada waris sebelah bapa tersebut.Bagi penulis, sekiranya si isteri sudi membantu dengan niat mahu meringankan beban suami, mereka harus bersyukur kerana ia satu ‘bonus’ tetapi malangnya ramai suami salah faham.

Apabila tahu si isteri mempunyai gaji tetap, mereka tidak lagi memberi belanja bulanan. Malah, rakan penulis pernah mengadu bahawa dia takut hendak minta duit belanja daripada suami kerana setiap kali diminta, suaminya akan marah dan mempersoalkan ke mana duit gajinya dihabiskan.

Penulis mahu ingatkan golongan suami bahawa kesabaran itu ada hadnya. Jangan disebabkan isteri tidak berkira, suami terus mengambil kesempatan dengan melepaskan semua tanggungjawab kepada si isteri.

Biasanya kesabaran wanita akan ‘terusik’ apabila dia rasa tidak dihargai oleh si suami.

Ambil iktibar dan pengajaran kes seorang bapa kepada enam anak dijatuhkan hukuman penjara 30 hari, selain perlu membayar tunggakan hutang anak-anak berjumlah RM11,000 pada 20 Disember lalu.

Jadi, beringatlah wahai lelaki yang bergelar suami. Jangan terlalu ambil mudah dengan tanggungjawab memberi nafkah.

Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab, ia boleh merosakkan rumah tangga meskipun ia sudah terbina selama puluhan tahun. Mungkin juga anda bakal meringkuk dalam penjara.

Penulis tertanya-tanya juga kenapa golongan berkenaan memilih untuk bersikap kedekut dengan insan yang mereka sayang, sedangkan pada masa yang sama boleh pula belanja kawan-kawan yang belum tentu lagi akan membantu mereka pada waktu susah.

Adakah mereka masih tidak tahu tentang kewajipan tanggungjawab? Jawapannya ada dalam Surah al-Baqarah ayat 233.

* Rubiah Omar ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!