500 ahli peladang Perlis terima sumbangan berjumlah RM100,000
PADANG BESAR - Seramai 500 ahli daripada enam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis menerima sumbangan berjumlah RM100,000 pada Isnin.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Huzaini Ramli berkata, enam PPK berkenaan adalah PPK Mata Ayer, PPK Padang Siding, PPK Bintong, PPK Paya, PPK Berseri dan PPK Titi Tinggi.
Menurutnya, setiap penerima menerima sebanyak RM200 seorang. Program sumbangan itu merupakan wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada asnaf yang layak menerimanya.
“Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri kepada pengeluar zakat sebagai wakil untuk diagihkan semula kepada penerima yang layak.
“Penganjuran program ini adalah bagi menunjukkan komitmen NAFAS dalam memastikan setiap keuntungan daripada aktiviti perniagaan kami dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang,” katanya ketika ditemui pada Program Prihatin Peladang Perlis di PPK Mata Ayer di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis, Azizul Lebai Ishak dan Pengarah Kumpulan Pembangunan Peladang, Abu Sujak Sahuji.
Majlis itu dihadiri seramai 150 penerima daripada PPK Mata Ayer manakala baki sumbangan diterima oleh Pengerusi PPK.
Huzaini berkata, NAFAS berharap bantuan kewangan yang disampaikan itu dapat membantu meringankan kos perbelanjaan seharian penerima dan ahli keluarganya.
“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara NAFAS bersama barisan kepimpinan PPK di Perlis serta ahli-ahli peladang,” katanya.
Menurutnya, program yang sama seperti di Perlis juga akan digerakkan di seluruh negara dan NAFAS akan turun padang untuk menyerahkan sumbangan seperti itu.
“Program Prihatin Peladang ini secara keseluruhannya akan memberikan manfaat kepada lebih 7,000 keluarga seluruh negara sepanjang program dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!