'Pemilik ternakan jangan lepas tangan'
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengingatkan pemilik ternakan terutama yang berhampiran di kawasan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) supaya tidak melepaskan ternakan mereka tanpa pengawasan.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, sikap lepas tangan dan tidak peka terhadap ternakan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada pengguna di lebuh raya.
Semasa mengulas kejadian kemalangan di LPT 2 yang nyaris meragut nyawa tiga beranak selepas melanggar kerbau melintas pada Ahad, beliau berkata, sebelum tragedi itu, pasukan UPLR Redang 41 yang sedang membuat rondaan rutin terserempak sekumpulan ternakan kira-kira 30 ekor lembu berada di tepi lebuh raya di Kilometer (KM) 333 dan KM 337 di LPT 2 arah barat.
"Anggota terbabit bertindak menghalau kesemua ternakan masuk ke ladang sawit berdekatan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak nyaris maut langgar kerbau melintas di LPT2
"Kemungkinan ternakan itu keluar semula dari ladang sawit kerana tiada pengawasan pemilik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya lagi, UPLR ditubuhkan khas bertujuan memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dengan memfokuskan isu berkaitan penguatkuasaan terhadap pengguna lebuh raya yang melanggar peraturan lalu lintas di lebuh raya.
"Selain itu pasukan UPLR berperanan memantau dan bertindak terhadap kenderaan perdagangan termasuk isu teknikal, membawa lebih muatan serta kesalahan meletak kenderaan di lorong kecemasan di sepanjang lebuh raya.
"Pasukan UPLR turut menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) selain memberi bantuan kepada pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan atau kemalangan," katanya.
Semalam, pada Isnin, Sinar Harian ada melaporkan tiga beranak nyaris maut apabila kenderaan jenis Honda Jazz dinaiki mereka merempuh kerbau yang melintas secara tiba-tiba, dalam kejadian di susur Kuala Telemong-Plaza Tol Telemong di LPT 2, jam 10 malam, Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!