JPN Melaka benar pelajar guna buku latihan tanpa logo sekolah

Noor Effandi (tengah) menunjukkaan data bilangan pelajar sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan baharu 2021 ketika ditemui di JPN Melaka, di Bukit Beruang pada Selasa.
Noor Effandi (tengah) menunjukkaan data bilangan pelajar sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan baharu 2021 ketika ditemui di JPN Melaka, di Bukit Beruang pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka tidak menghalang murid dan pelajar sekolah untuk menggunakan buku latihan yang tidak tertera logo sekolah bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, kebenaran itu mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai ibu bapa terkesan.

Menurutnya, pihaknya turut berharap kebenaran itu mampu membantu mereka selain membenarkan yuran persekolahan pelajar Tingkatan Satu ditangguhkan sehingga bulan Mei tahun depan.

Justeru, beliau meminta 315 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang akan menempatkan seramai 155,982 pelajar pada sesi persekolahan tahun depan dapat memberi kelonggaran agar buku latihan biasa tanpa logo juga dibenarkan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP).

"Boleh gunakan buku tiada logo sekolah, kalau cara itu dapat membantu meringankan beban ibu bapa, kita tidak menghalang.

"Jika mereka yang kurang berkemampuan dapat membeli buku latihan dengan harga lebih murah berbanding beli di sekolah, maka tidak salah digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di JPN Melaka di Bukit Beruang, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN negeri, Karim Tumin dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Rosni Leman.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini menerusi akaun Facebook seorang aktivis memaklumkan telah menerima aduan daripada seorang ibu di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah yang mendakwa diminta guru sekolah untuk menyediakan buku latihan tertera logo sekolah sedangkan dia tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, bagaimanapun pihaknya menggalakkan ibu bapa yang berkemampuan untuk menggunakan buku latihan sekolah, memandangkan keuntungan daripada penjualan itu akan dikembalikan semula kepada pelajar dan anak-anak mereka sendiri melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah.

Menurutnya, inisiatif sekolah yang menjual buku latihan menerusi koperasi sekolah sebenarnya tidak merekodkan keuntungan yang banyak namun keuntungan yang diperoleh itu akan digunakan untuk manfaat pelajar dan juga sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!