Rina jamin 8,000 kekosongan di JKM bukan untuk Srikandi
PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun memberi jaminan kekosongan 8,000 perjawatan kontrak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak melibatkan Srikandi Bersatu sebagaimana didakwa.
Menurutnya, kekosongan jawatan itu terbuka kepada individu berkelayakan selepas Jawatankuasa Teknikal JKM membuat penelitian dan keperluan.
"Ini bukanlah (pelantikan) daripada saya, ada proses dan prosedur seperti biasa.
ARTIKEL BERKAITAN: 8,000 jawatan kontrak JKM ditawar tahun depan
"Bukan Rina Mohd Harun yang melantik orang-orang ini. Tidak," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyampaian sumbangan korporat kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keraguan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengenai rancangan menambah 8,000 kakitangan kontrak ke JKM.
Bekas Timbalan Menteri KPWKM itu turut mengingatkan Rina supaya tidak menjadikan jabatan itu sebagai mesin politiknya.
Sebelum ini pada pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan penyediaan 50,000 peluang pekerjaan kontrak di sektor awam termasuk 8,000 akan diperuntukkan kepada KPWKM.
Dalam pada itu, Rina berkata, 1,122 permohonan perjawatan bagi Pegawai Pelindung Kanak-kanak dan Pegawai Akhlak telah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk kelulusan.
"Ini bukan kelulusan saya, ia tertakluk kelulusan MOF dan JPA, kita mengusulkan kerana kita rasa ada keperluan.
“Ini tugas hakiki yang sangat penting, membantu siasatan, turun ke bawah. ia merangkumi semua,” katanya.
Terdahulu, Rina yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN menerima sumbangan korporat berjumlah RM250,000 di mana RM150,000 telah disumbangkan melalui zakat Pharmaniaga dan RM100,000 disumbangkan oleh Ronald McDonald House Charities (RMHC), Malaysia.
Sumbangan korporat daripada zakat Pharmaniaga disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusannya Mohamed Iqbal Abdul Rahman manakala RMHC pula disampaikan oleh Pengurus Besarnya Nasri Nordin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!