Hidup berteman cahaya lilin, makan apa yang ada

Rumah usang di Kampung Ayer Merbo ini menempatkan enam sekeluarga yang hidup serba kekurangan.
Rumah usang di Kampung Ayer Merbo ini menempatkan enam sekeluarga yang hidup serba kekurangan.
A
A
A

TANAH MERAH - "Saya baca buku ditemani cahaya lilin, bunyi unggas dan air terjun yang mengalir depan rumah," kata Mohd Khairul Azhar Mohd Khairul Azwan, 8, menceritakan 'pengalaman' hidup di rumah datuknya yang tiada elektrik sejak dia dilahirkan.

Walaupun dalam keadaan daif, namun impian dan cita-cita untuk menjadi seorang polis tidak akan terkubur demi membantu mengubah kehidupan keluarganya.

Tinggal bersama ibu, Siti Azlina Rosli, 27 tahun, bapa, datuk, Mustafa Mat Hassan, 60 tahun dan dua adik menjadikan Mohd Khairul Azhar lebih matang berbanding usianya terutamanya ketika menghadapi situasi kehidupan keluarganya yang tidak mempunyai rumah yang selesa dan kemudahan sebagaimana kediaman rakan-rakan yang lain.

Seolah-olah hidup dengan alam semula jadi, itulah gambaran mudah dapat diberikan kepada setiap detik kehidupan Mohd Khairul Azhar yang banyak menghabiskan masa bermain dengan dua lagi adiknya di air terjun.

"Saya tahu saya orang susah, tapi saya bersyukur, walaupun tidak senang macam orang lain, tapi saya mampu hidup dalam keadaan macam ini.

"Mama selalu pesan, belajar rajin-rajin supaya nanti saya boleh duduk rumah besar, ada api (elektrik), ada pelbagai kemudahan lain. Sekarang ini rumah kami ini bilik air pun tidak ada.

"Air terjun ini sahaja mainan kami, bunyi unggas, binatang hutan seakan seiring dengan kami setiap masa. Teringin juga main permainan macam orang lain, tapi kami tidak mampu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ayer Merbo, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Siti Azlina menggunakan sepenuhnya air terjun yang terletak di depan rumahnya untuk kegunaan harian mereka sekeluarga.
Siti Azlina menggunakan sepenuhnya air terjun yang terletak di depan rumahnya untuk kegunaan harian mereka sekeluarga.

Terdahulu, keluarga tersebut dikunjungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah yang diketuai oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Tanah Merah, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit.

Mengulas lanjut, ibu Mohd Khairul Azhar, Siti Azlina memberitahu, dia dan suami serta tiga anaknya menumpang di rumah bapa mertuanya itu sejak mereka berkahwin lebih 11 tahun lalu dan tinggal dalam keadaan bergelap tanpa lampu dan kemudahan lain.

Bagaimanapun, keluarga tersebut bergantung sepenuhnya kepada lilin dan kemudahan air terjun yang hanya lima meter dari rumahnya.

"Kami bergantung sepenuhnya pada lilin dan makan apa sahaja yang ada. Suami dan bapa mertua saya bekerja kampung, menoreh, apa sahaja yang orang kampung minta tolong, mereka akan buat.

Mohd Khairul Azhar Mohd Khairul Azwan
Mohd Khairul Azhar Mohd Khairul Azwan

"Kami juga bergantung kepada bantuan yang diberikan JKM kepada bapa mertua saya untuk beli makanan dan apa keperluan yang penting," katanya.

Mempunyai dua bilik yang hanya menggunakan dinding usang, kediaman kecil di tepi air terjun itu sangat daif dan tidak mampu lagi untuk menampung mereka berenam memandangkan anak-anak juga semakin meningkat dewasa.

Siti Azlina berkata, mereka tetap bersyukur dengan apa yang ada walaupun jauh di sudut hati tetap berharap mahu mempunyai rumah sendiri satu hari nanti.

Walaupun hampir hilang rumah disebabkan kecuaian penggunaan lilin di waktu malam, namun itulah yang terpaksa mereka hadapi bagi meneruskan kehidupan seharian bagi membesarkan anak-anak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!