'Orang tengah susah, ada pihak ambil kesempatan'
LIPIS - Suri rumah dari Kampung Kemahang, Benta di sini yang sebelum ini tular kerana sanggup menunggang motosikal sejauh 200 kilometer seorang diri untuk melawat suaminya di hospital kecewa apabila ada pihak mengambil kesempatan atas kesusahan dihadapinya.
Rohaizan Rozama, 41, menjadi mangsa penipuan scammer pada Sabtu lalu menyebabkan dia kerugian RM1,725.
Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kegigihan wanita berkenaan yang sanggup menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Kemahang ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk melawat suaminya, Razali Ismail, 45, yang terlantar kerana menghidap penyakit kanser perut dan otak.
ARTIKEL BERKAITAN Tunggang motosikal 200km jenguk suami di hospital
Rohaizan berkata, kejadian berlaku ketika dia menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Ustaz Haji Shaiful' daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Lelaki itu bertanyakan mengenai kos rawatan suami saya. Dia memberitahu saya boleh membuat permohonan kos rawatan dengan pihaknya.
"Lelaki itu juga memberitahu saya perlu mengisi borang permohonan bantuan dan meminta memberikan dokumen seperti kad pengenalan serta maklumat akaun Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) saya.
"Saya didesak supaya segera memberikan maklumat termasuk kata laluan dan TAC. Dalam keadaan kelam-kabut, saya memberikannya tanpa menyedari saya sudah ditipu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ibu kepada dua anak itu kemudian menyedari baki akaun di banknya berkurangan pada Ahad lalu ketika mahu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang (ATM).
"Saya terkejut melihat bakinya telah berkurangan. Saya terus menghubungi nombor telefon lelaki itu tetapi dijawab oleh seorang wanita yang meminta saya menunggu pada hari esok (Isnin).
"Saya buat semakan di bank dan mendapati terdapat tiga transaksi pemindahan wang bernilai keseluruhan RM1,525 pada akaun Maybank pada Ahad lalu dan BSN sebanyak RM200," katanya.
Mengakui silapnya kerana mudah percaya, Rohaizan berkata, dia memberikan maklumat tersebut kerana amat memerlukan bantuan untuk suami yang terlantar di hospital.
Berikutan itu, katanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Ahad.
"Memang saya sedih kerana ada juga orang nak ambil kesempatan dalam keadaan saya yang sudah. Tidak sangka ia berlaku dalam keadaan saya memerlukan duit.
"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan menjadikan ia satu pengajaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!