Sasar infak 8,000 kit pengurusan jenazah
SHAH ALAM - Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) menyasarkan infak sebanyak 8,000 kit pengurusan jenazah meliputi jumlah RM1.5 juta buat sepanjang tahun ini.
Pengurusnya, Mohammad Syukri Ismail berkata, semua kit pengurusan jenazah tersebut akan diedarkan kepada 407 buah masjid, 2047 surau dan 10 hospital di seluruh negeri Selangor sebagai salah satu program tanggungjawab sosial mereka.
Menurutnya, sekiranya jumlah sumbangan melebihi sasaran dan menggalakkan, penerima sumbangan kit tersebut akan diperluaskan ke negeri-negeri berdekatan selepas ini.
"Buat masa ini, kita memberi keutamaan kepada rakyat di Selangor dan kami percaya ramai pihak yang tidak mahu melepaskan peluang bagi membuat kebajikan melalui program ini.
"Dan pihak kami berbesar hati dapat menyumbang tenaga bagi membantu meringankan urusan dalam tuntutan fardhu kifayah ini," katanya ketika sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Syukri berkata, kit pengurusan jenazah lelaki dan wanita yang disediakan oleh pihaknya itu adalah lebih murah berbanding harga di pasaran iaitu sekitar RM190 bagi satu unit.
Beliau berkata, kit tersebut akan mula diedarkan di semua masjid, surau dan hospital bermula awal Mac ini selepas pihaknya mengadakan Mesyuarat Agung Kohijrah pada 16 Februari ini.
"Peralatan yang terdapat di dalam kit ini antaranya kain kafan, air mawar, sarung tangan, minyak attar dan lain-lain lagi.
"Jadi dengan adanya kit ini, pihak masjid dan surau tidak perlu lagi mencari lagi peralatan lain untuk urusan pengurusan jenazah," katanya.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin membantu dalam menjayakan inisiatif ini boleh menyalurkan terus sumbangan mereka melalui akaun 105990040017 (Affin Islamic Bank).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!