Terjun dalam parit selepas bakar diri sendiri
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki membakar dirinya selepas menyimbah petrol pada badan dalam kejadian berhampiran sebuah kuil di Jalan Ngee Heng di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, tindakannya yang terjun ke dalam parit berdekatan akibat tidak mampu menahan panas telah menyelamatkan nyawanya.
Dalam kejadian pada jam 10.53 pagi, lelaki berusia 39 tahun itu melecur pada tangan dan badan.
Seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menyelamatkan lelaki tersebut dalam keadaan sudah melecur lima peratus.
"Pihak bomba mengangkat mangsa dalam longkang dengan menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
"Kita bagaimanapun tidak tahu apa motif lelaki berkenaan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, operasi tamat pada jam 11.28 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!