Bekalan daging tempatan belum mampu penuhi permintaan pasaran
KUALA TERENGGANU - Bekalan daging tempatan di negeri ini masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran menyebabkan berlakunya kebergantungan terhadap daging import.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri berikutan itu mengambil pelbagai inisiatif bagi memperkasakan industri ternakan tempatan untuk memenuhi permintaan pasaran dalam negeri.
"Di Terengganu, kadar kecukupan tahap sara diri (SSL) daging buat masa ini hanya sekitar 30 peratus sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI
Isu kartel daging: Jakim adakan perbincangan antara kementerian, agensi
Isu kartel daging: Bukit Aman terima 13 laporan
“Mahu tidak mahu kita memerlukan bekalan daging import. Dalam masa sama kita bekerja keras bagi memartabatkan lagi industri ternakan ke arah mencukupkan jaminan bekalan makanan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau bagaimanapun berkata, isu bekalan makanan bukan hanya perlu dipastikan mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam negara, perlu bersih, halal dan berkat.
"Ini dinamakan sekuriti makanan (food security). Setiap yang kita makan akan jadi darah daging. Halalnya dihisab, haramnya diazab," katanya.
Menyentuh usaha kerajaan dalam memperkasakan sektor ternakan tempatan, beliau berkata, sebanyak RM4.25 juta diperuntukkan bagi tahun 2021 meliputi projek pembangunan padang ragut, lembu sado, induk ternakan serta pusat pemprosesan berstatus halal.
"Kita juga ada sediakan peruntukan RM200,000 bagi projek khas pertanian iaitu pembangunan pilot projek untuk ternakan rusa nukleus pada tahun depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa industri ternakan tidak akan berkembang jauh sekiranya banyak pihak mengamalkan sikap tidak jujur dalam mengusahakan sesuatu projek.
"Misalnya, tanah rizab padang ragut dipajak untuk buat projek ternakan tapi akhirnya yang 'diternak' ialah sawit. Gejala ini berleluasa.
"Kita perlu bertegas dalam memastikan tanah rizab padang ragut digunakan bersesuaian dengan tujuan ia diwartakan. Kita sedang menjalankan penguatkuasaan berhubung perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!