Halal itu satu amanah
Sudah puluhan tahun Malaysia dikenali dengan industri halalnya sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara contoh terbaik dunia dalam amalan halal berdasarkan ‘the Codex Alimentarius Commission’, Geneva 1997.
Pengiktirafan itu telah memberikan keyakinan penuh rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia umumnya dalam menggunakan produk makanan halal Malaysia ‘tanpa was-was’.
Tagline ‘tanpa was-was’ menggambarkan betapa yakinnya rakyat kepada produk halal Malaysia sehingga ia diterima pakai sebagai petanda ia baik, sihat, bersih dan berkualiti. Ia bukan penanda aras kepada golongan Muslim sahaja tetapi turut diterima ramai oleh bukan Muslim dengan peranan yang sama.
Namun, akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan isu kartel daging haram yang diketengahkan oleh media massa. Isu tersebut amat berat kerana ia tidak sahaja membabitkan maruah negara tetapi juga melibatkan keyakinan rakyat dan maruah agama Islam itu sendiri.
Jika sebelum ini, Malaysia dipandang mulia kerana menjadi negara Islam contoh dalam mengetengahkan amalan-amalan Islam praktikal dan patuh syariah, namun kini ia berisiko untuk tercalar imejnya sekiranya isu itu tidak ditangani dengan baik.
Halal bagi Malaysia tidak hanya terletak kepada boleh atau tidak boleh makan semata-mata tetapi ia adalah pengiktirafan keyakinan perdagangan pada peringkat antarabangsa.
Dengan adanya logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), syarikat-syarikat tempatan dapat menempatkan produk mereka ke pasaran antarabangsa yang mencecah nilai AS$ 3.0 trillion (kombinasi produk halal makanan dan bukan makanan) menjelang tahun 2030.
Malaysia juga telah mengubal dasar ‘Halal Industry Master Plan 2030’ (HIMP 2030) bagi melengkapkan dan menambahbaik industri halal Malaysia. Penambahbaikan itu menjadikan Malaysia tidak hanya menumpukan kepada industri makanan dan minuman semata-mata, malah turut menyentuh industri kosmetik, farmaseutikal, perubatan, fesyen serta pelancongan.
Dalam HIMP 2030 juga, Malaysia tidak lagi hanya fokus kepada isu pematuhan (compliance), sebaliknya harus merangkumi segenap aspek yang menjadikan halal sebagai sebuah ekosistem. Ia bermaksud industri halal akan jadi saling kuat memperkuatkan dan berdiri sendiri serta berkembang secara organik.
Musnah
Antara elemen penting dalam ekosistem tersebut adalah integriti halal, perdagangan, pelaburan dan peluang pekerjaan. Dengan bergabungnya empat elemen itu, maka industri halal semestinya menjadi lebih matang, dipercayai dan kuat, malah pada masa yang sama meletakkan Islam serta Malaysia di aras yang lebih tinggi berbanding yang lain.
Namun, sekiranya isu kartel itu benar-benar terjadi seperti didakwa, maka segala perancangan yang telah dibuat, imej yang dipelihara, maruah yang telah dibentuk dan tanggungjawab agama yang telah diamanahkan boleh menjadi hancur musnah.
Penulis percaya ia adalah berpunca daripada sikap tamak dan tidak bertanggungjawab sebuah kelompok yang ingin mengambil untung mudah dan mereka sememangnya wajib diambil tindakan serius selepas dikenal pasti.
Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan tegas without fear and favor dalam menyiasat perkara tersebut. Benar ‘tabayyun’ itu penting dan perlu diingatkan bahawa mereka yang berkuasa memainkan peranan yang sama penting untuk menyiasat perkara berkenaan sedalam-dalamnya.
Tidak cukup untuk menyerahkan perkara itu disiasat oleh pihak media sahaja, sebaliknya penulis dan teman-teman Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian bahawa pihak kerajaan perlu segera menubuhkan pasukan khas pelbagai agensi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyia-sat isu dengan pantas serta bersepadu.
Pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan koreksi secara menyeluruh bagi memastikan maklumat berkaitan isu itu dapat disampaikan dengan baik dan tepat kepada masyarakat, sekali gus tidak menggugat keyakinan pengguna khususnya umat Islam.
Ingat dengan kata-kata hikmah ‘kepercayaan itu seperti selembar kertas, sekali sahaja dia ter-ramas dan kusut, dia tidak bisa sempurna lagi.’
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!