Pasar Awam Banting ditutup sementara bermula hari ini
BANTING - Pasar Awam Banting ditutup sementara selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Januari depan bagi kerja sanitasi awam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, notis perintah tutup itu adalah di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, proses sanitasi akan dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh KKM.
"Saya meminta agar orang awam dapat bersabar dan memberikan kerjasama yang sebaiknya serta patuh kepada SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman memaklumkan penutupan pasar awam itu disebabkan ketidakpatuhan SOP.
"Ia termasuk tiada kawalan penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja.
"Penutupan ini untuk proses disinfeksi dan saringan kontak dan individu yang berisiko.
"Sebanyak 25 kes telah dikesan berkaitan pasar ini dan 43 orang kontak rapat telah disaring (keluarga), " katanya.
Beliau berkata, Pusat Kesihatan Daerah Kuala Langat akan menjalankan saringan kepada 101 orang peniaga pada Khamis ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!