Bangsa Kedah: Cadangan tak masuk akal

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Umno Kedah berharap Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul tidak lagi memberikan idea yang menampakkan ketidakupayaan berfikiran jauh seperti konsep 'bangsa Kedah'.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyifatkan cadangan oleh bakal menteri besar Kedah itu di negeri ini dilihat sebagai tidak masuk akal.

Menurutnya, mungkin apabila Johari sudah bergelar Menteri Besar Kedah suatu hari nanti, beliau boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk menyatukan masyarakat dan kejayaan penyatuan itu boleh menjadi contoh kepada negeri lain tanpa perlu mewujudkan konsep bangsa Kedah.

"Kita faham cadangan itu ditiru dari konsep bangsa Johor dan mungkin baik dan berjaya dilaksanakan di Johor tetapi adakah ia juga sesuai dilaksanakan di Kedah.

"Harus Johari fahami dengan jelas bahawa konsep dan perlaksanaan yang baik sesuatu perkara di sesuatu tempat, tidak bermakna ia juga sesuai dilaksanakan di tempat lain.

"Kalau mahu bercakap konsep memupuk perpaduan, Pemuda Umno Kedah sangat bersetuju bahawa perpaduan antara masyarakat dan kaum harus perlu diperkukuhkan terutama pada muktahir ini pelbagai isu melingkari hubungan antara kaum yang tambah mengeruhkan keadaan.

"Namun Pemuda Umno Kedah ingin bertanya, bukankah perpaduan di kalangan masyarakat kita elok sahaja kemudian datang parti pembangkang, yang kini sudah menjadi kerajaan, yang menghasut rakyat sehingga membawa perpecahan dan berpuak-puak," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sejak PH mengambil alih Kerajaan Pusat dan beberapa kerajaan negeri, adakah perpaduan semakin baik atau bertambah buruk.

Artikel Berkaitan:

"Bukankah Kerajaan PH telah gagal mengawal beberapa isu di kalangan masyarakat sehingga menyebabkan jurang permisahan antara kaum semakin meresahkan.

"Perpecahan antara kaum semakin membesar adalah benar wahai YB Johari. Lihat sahaja komen-komen dalam media sosial, anda akan dapat nilai situasinya.

"Jikalau setakat Johari memberi cadangan tetapi realitinya Kerajaan Pusat tidak mengambil tindakan pro aktif penyatuan, merapatkan masyarakat maka YB Johari boleh terus bermimpi soal penyatuan,"katanya.

Tambahnya, masyarakat sebenarnya boleh hidup dengan aman damai sekiranya ahli politik tidak mengapi-apikan kebencian terhadap pihak yang lain dan harus diakui perpecahan antara masyarakat sekarang berlaku kerana terbawa dengan perbezaan fahaman politik.

Jelasnya lagi, di Kedah iklim politik sejak dulu tidak pernah dilihat berpecah belah biar pun parti mana yang memerintah berikutan hubungan parti pemerintah dan pembangkang sejak dulu begitu akrab demi mencapai matlamat menjayakan pentadbiran kerajaan negeri.

"Pandangan politik mana-mana parti begitu diraikan tanpa emosi dan profesional, cuma biasalah kritikan politik cuma dilihat didalam media tapi hakikatnya hubungan antara ADUN-ADUN sebelum ini cukup bersifat positif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!