UK pertama kali catat lebih 50,000 kes Covid-19

Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia. Foto Xinhua
Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia. Foto Xinhua
A
A
A

LONDON - Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Selasa.

Seramai 53,135 lagi penduduk Britain diuji positif virus itu, menunjukkan peningkatan baharu setiap hari. Jumlah kes di negara ini kini sebanyak 2,382,865, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, seramai 414 lagi meninggal dunia dalam tempoh 28 hari menjadikan jumlah kematian sebanyak 71,567.

Seorang saintis pada Selasa memberi amaran kepada kerajaan, langkah pencegahan lebih ketat mesti dilaksanakan untuk mengelak 'malapetaka' pada tahun baharu.

Britain 'memasuki fasa baharu pandemik yang sangat berbahaya' disebabkan penularan varian baharu, kata anggota Kumpulan Penasihat Ancaman Kemunculan Virus Baharu (NERVTAG), Profesor Andrew Hayward.

"Kita memerlukan tindakan pencegahan awal dan ketat, untuk mencegah bencana lebih buruk pada Januari dan Februari.

"Tahap sekatan sebelum ini tidak mampu berfungsi lagi, sekatan Tahap Empat mungkin diperlukan, atau mungkin lebih daripada itu," katanya kepada program Radio 4 BBC.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dijangka mengumumkan perubahan tahap sekatan pada Rabu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!