Dakwaan pembalakan di Semporna akan disiasat
SEMPORNA - Dakwaan pembalakan berdasarkan gambar serta video memaparkan sebuah lori dan bot tunda dengan muatan balak di kawasan Sungai Pegagau, di sini, akan disiasat, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya jika benar berlaku, aktiviti itu adalah salah di sisi undang-undang memandangkan selepas Sabah ditadbir kerajaan baharu, tiada syarikat konsesi diberikan hak eksport berkaitan kayu balak di negeri tersebut.
"Kes di Pegagau ini kita akan siasat siapa yang bagi lesen, kita akan tengok dari segi kebenarannya.
"Jika ada pun (pembalakan), itu pemerintahan dahulu (Barisan Nasional), konsesi mereka yang dibagi dahulu dan kebetulan berlaku (di Semporna)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersempena Tahun Baharu Cina di kediaman Uncle Chang di sini, hari ini.
Shafie mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi dan Strategik Umno Sabah, Ghazalie Ansing yang menuntut penjelasan kerajaan negeri berkaitan gambar lori dan bot tunda yang dipenuhi kayu balak di jeti Sungai Pegagau di sini.
Gambar itu dimuat naik oleh Ghazalie menerusi akaun Facebooknya hari ini dan tular.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri hanya membenarkan Yayasan Sabah menguruskan hal ehwal berkaitan kayu balak di Sabah.
"Saya tidak pernah bagi lesen kepada mana-mana pihak dan kalau ada (syarikat) konsesi balak kita bagi dengan Yayasan Sabah kerana saya mahu yayasan mempunyai duit dan hasilnya kita bantu anak-anak belajar bukan hanya sekolah dalam negara tetapi di luar negara," katanya.
Tegasnya kerajaan negeri juga sudah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Perhutanan Sabah agar melakukan siasatan berhubung sebarang kegiatan pembalakan haram di seluruh negeri.
"Misalnya, saya tahu bila pergi Nabawan menaiki helikopter (ternampak) kayu balak di atas bukit, saya terus bagi arahan pada Jabatan Perhutanan siasat berkaitan pembalakan haram ini," katanya.
Pada masa sama beliau menyifatkan tindakan pembangkang memainkan isu tersebut sebagai perkara biasa dalam politik.
Terdahulu Mohd Shafie meluangkan masa bersama jentera Parti Warisan Sabah Bahagian Semporna menyerahkan sumbangan limau mandarin kepada premis-premis perniagaan di pekan Semporna di samping mengunjungi rumah-rumah masyarakat cina. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!