Pencemaran najis babi di Sungai Kereh masih berlarutan
TASEK GELUGOR - "Derita yang masih berlarutan dan tiada kesudahan". Mungkin itu ungkapan paling sesuai buat penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor (Pulau Pinang) berhubung isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh akibat longgokan najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari sini.
Menurut penduduk kampung itu, Abu Hasan Awang, 52, pencemaran serta bau busuk dari air yang mengalir di Sungai Kereh itu sudah terlalu lama berlaku, namun penyelesaian masih tidak menunjukkan tanda berakhir hingga kini.
"Bayangkan dari tahun 1980-an hingga kini, masalah ini tetap sama. Pihak berkuasa, agensi berkaitan, wakil rakyat, datang silih berganti, hanya datang, lihat kemudian pulang. Pencemaran itu tetap berlaku hingga kini. Sampai bila? " katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya (Kampung Air Melintas Kecil) baru-baru ini.
Abu Hasan berkata, memandangkan isu pencemaran sungai itu yang masih berlarutan sehingga kini, beliau bersetuju sekiranya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut yang berkemungkinan melibatkan faktor 'orang dalaman'.
"Siasatan SPRM itu perlu dan wajar. Saya bersetuju jika SPRM nak datang siasat. Pencemaran Sungai Kereh sebab perkara ini sudah berpuluh tahun (40 tahun), berpunca dari ladang babi dan juga bahan kimia kilang.
"Kalau musim kemarau lagi teruk, bau amat kuat, bercampur najis babi dan bahan kimia dari kilang, " tambahnya.
Beliau yang sebelum ini mengerjakan tidak lagi berbuat demikian ekoran air sungai yag tercemar itu turut memusnahkan hasil tanaman sawah padinya. Abu Hasan kini bekerja sebagai pemandu lori.
Berkongsi kenangan ketika Sungai Kereh belum tercemar pada awal tahun 1970-an, Abu Hasan berkata, sungai berdekatan rumah mereka itu adalah lubuk rezeki kepada penduduk setempat mencari rezeki kerana terdapat banyak udang galah di sungai itu.
Namun sejak sungai tersebut mula tercemar, aktiviti menangkap dan menjual udang galah tidak lagi dapat dilakukan.
Kekecewaan yang sama turut diluahkan oleh pesawah Hishamudin Md Isa,42.
Beliau juga menanggung kerugian apabila air dari Sungai Kereh menjadi tercemar dan merosakkan hasil tanaman padinya.
"Bagi saya amat wajarlah SPRM memulakan siasatan ini. Kita lihat seperti ada sesuatu dan ada pihak yang terlibat dalam perkara ini.Bayangkan isu ini selalu mendapat perhatian, pelbagai pihak dan agensi datang ke kawasan ini melihat sendiri, namun selepas itu tiada tindakan selanjutnya diambil dan pencemaran sungai di kampung ini masih terjadi," katanya.
Justeru Hishamudin berkata, perkara ini perlu dipandang serius dan disiasat oleh SPRM berhubung kemungkinan wujud penglibatan pihak dalaman dalam perkara itu.
Sebagai penduduk tempatan, Hishamudin berkata, beliau pernah menanggung kerugian apabila hasil tanaman padinya rosak akibat air pencemaran Sungai Kereh yang berpunca dari ladang najis babi dari Kampung Selamat itu.
"Bayangkan saya jadi takut bila tiba masa hendak mengambil hasil padi. Pernah ada najis seketul-seketul di situ. Tidak sanggup rasanya. Padi juga banyak yang rosak dan kami pesawah mengalami kerugian ribuan ringgit. Itu belum masuk habis kaki gatal-gatal," katanya.
Dalam pada itu Hishamudin berkata, beliau turut menarik nafas lega apabila baru-baru ini perkara tersebut (pencemaran Sungai Kereh) mendapat perhatian Jawatankuasa Petugas Khas yang ditubuhkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang kemudian diarahkan untuk menyelesaikan isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh dengan segera.
Beliau berkata, menerusi lawatan bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk, Dr Nadzri Yahaya baru-baru ini yang turun meninjau lokasi pencemaran, ia dilihat dapat memberi kelegaan serta ruang penyelesaian sebaiknya demi kesejahteraan penduduk setempat dan sekitarnya.
Dalam pada itu Bernama turut meminta penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri (Pulau Pinang), Dr Norlela Ariffin berhubung perkara terbabit.
Menurut Norlela, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat laporan polis di bawah Sekyen 430 Kanun Keseksaan dan kini perkara itu masih dalam siasatan polis.
Beliau menambah, pihak polis telah mengambil 11 sampel air sungai yang ada najis Babi serta sampel dari kandang yang disyaki melepaskan najis.
"Jika SPRM hendak siasat, saya mengalu-alukan supaya tidak ada pencemar yang dibiarkan membuang sisa kumbahan ke dalam parit dan sungai sehingga BOD (Oksigen Biokimia) terlalu tinggi. Dari segi tindakan Enakmen Ternakan Babi 2016 hanya diwartakan pada tahun 2020 dan Peraturan Ternakan Babi pula hanya diwartakan pada Mac 2020.
"SPRM boleh siasat kenapa proses pewartaan Enakmen Ternakan Babi ambil masa yang begitu lama sangat iaitu dari 2016 hingga 2020 berbanding Enakmen Perladangan Unggas yang diluluskan pada sesi kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2020 dan diluluskan di Mesyuarat Exco pada 9 Disember lalu untuk diwartakan pada 1 Januari 2021," katanya.
Norlela menjelaskan, apabila enakmen (Enakmen Ternakan Babi) tidak diwartakan dari 2016 hingga 2020, kerajaan negeri melalui Jabatan Veterinar tidak dapat mengambil tindakan.
"Dari tarikh diwartakan, tindakan perobohan ladang babi akan mengambil masa dua tahun lagi iaitu pada 1 Januari 2022. Hanya penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas premis iaitu mengenakan kompaun RM250 maksimum yang boleh diambil oleh PBT bila Enakmen dan Peraturan tidak diwartakan.
"Jadi tidak ada hukuman yang serius bila Enakmen dan Peraturan tidak diwartakan. Itu sebabnya mengapa pencemaran sisa najis babi tidak diambil berat oleh penternak babi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi Bernama berkata, polis hanya menunggu laporan kimia berhubung pencemaran di Sungai Kereh yang dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa najis babi bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dalam pencemaran tersebut namun berdasarkan siasatan, polis percaya dapat mengesan mereka yang dipercayai menjadi punca berlaku pencemaran di Sungai Kereh.
"Kertas siasatan sebenarnya hampir siap dan polis hanya menunggu laporan kimia sahaja untuk lengkapkannya sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri bagi tindakan seterusnya,mungkin dalam masa terdekat kami dapat laporan kimia itu.Kes itu disiasat menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang, Wong Soon Ping berkata, sebanyak 69 ladang babi yang beroperasi secara sah dan berlesen di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Berhubung rungutan penduduk ekoran bau najis busuk disebabkan operasi ladang babi secara haram yang semakin berleluasa, Soon Ping berkata, dengan bakal adanya Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 yang bakal dikuatkuasakan pada 2021, akan dapat mengurangkan permasalahan itu.
"Kita amat berharap isu ini dapat diselesaikan dan permasalahan ini mungkin boleh dikurangkan apabila undang-undang itu dikuatkuasakan.
"Ia akan memerlukan sedikit masa namun saya percaya masalah pencemaran air sungai ini akan dapat diatasi," katanya kepada Bernama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!