'Bilik pelukan' untuk warga emas
TEXAS - Seorang remaja lelaki daripada Persatuan Pengakap Amerika Syarikat mencipta 'bilik pelukan' di pusat penjagaan warga emas ketika pandemik Covid-19 semakin mengancam dunia.
Lapor CNN, bantuan McCain Penrod, 17, merealisasikan hasrat pengurusan pusat penjagaan warga emas itu.
Pengarah gaya hidup di fasiliti bilik pelukan itu, Becky Hudson memberitahu, pada Mac lalu, ketika semua pusat ditutup, seorang penghuni meluahkan satu perkara yang dirinduinya iaitu sentuhan manusia.
"Ketika dia mengatakan itu, saya memakai sarung tangan dan memegang tangannya. Dia hanya menangis. Saya mula memikirkan cara supaya warga emas ini boleh memeluk orang yang mereka cintai tanpa mempertaruhkan nyawa mereka," katanya.
Menurutnya, bagi melindungi warga emas, banyak pusat penjagaan ditutup dan tidak boleh dilawati malah beberapa penghuni dilarang meninggalkan bilik mereka untuk berkomunikasi dengan penghuni lain.
Bagaimanapun katanya, tiga 'bilik pelukan' yang dibina itu memudahkan mereka berpelukan tanpa menyentuh satu sama lain kerana diperincikan dengan sarung tangan yang memungkinkan orang untuk menyentuh tanpa kontak kulit ke kulit.
Sementara itu, McCain memberitahu, dia mengambil masa selama sebulan dengan bantuan bapanya yang juga ahli pengakap.
Katanya, pelbagai reka bentuk dicuba untuk membina tiga bilik kayu yang setiap satunya dilengkapi tingkap kaca jenis 'plexiglass' supaya warga emas itu dapat melihat satu sama lain.
Bilik itu juga dilengkapi dua sarung tangan besar yang sudah dibersihkan untuk digunakan oleh penghuni warga emas sebelum memeluk rakan dan keluarga tanpa sentuhan badan.
Pelukan menjadi penguat semangat untuk meneruskan kehidupan penghuni di pusat penjagaan warga emas di Amerika Syarikat selepas dikuarantin berbulan-bulan kerana wabak itu.
Menurut remaja itu, ketika dia bercakap dengan beberapa penghuni didapati pelukan bukanlah keinginan tetapi keperluan.
"Ada yang dilihat banyak kepuasan dapat memenuhi keperluan ini terutama bagi mereka yang paling terkesan akibat pandemik ini," ujar McCain.
Menurut analisis Kaiser Family Foundation, Amerika Syarikat mencatatkan 100,000 penghuni dan kakitangan pusat penjagaan dan pusat kemudahan sokongan hidup meninggal dunia kerana Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!