Sumber, 'apparatus' bukan segalanya, kata Ahmad Shabery
SHAH ALAM - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Rabu menyatakan rakyat kini sedang memerhatikan Barisan Nasional (BN) dan mereka bijak untuk membuat keputusan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, walaupun sumber dan ‘apparatus’ (sistem) mempunyai peranannya tetapi ia bukan segala-galanya.
“Banyak lagi faktor yang menentukan kepercayaan mereka kepada kita atau sesiapa. Mungkin yang lepas ada kelemahan kita, namun selepas kita, mereka mula buat perbandingan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau mengulas ciapan di Twitter Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menyamai pilihan raya sebelumnya kerana pada waktu itu BN merupakan parti pemerintah yang menguasai banyak ‘apparatus’ pentadbiran dan sumber yang cukup tetapi tewas.
ARTIKEL BERKAITAN: BN perlu ideologi baharu untuk menang PRU15
Annuar dalam ciapannya juga menyatakan BN perlu pemikiran baharu dalam PRU15 nanti dan sekiranya gabungan itu kekal dengan ‘superiority complex (meninggi diri) dan ego lama, ia akan menemui jalan sukar.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery dalam masa yang sama turut membuat perbandingan selepas PRU14 dan menyatakan Pakatan Harapan (PH) hanya kuat dalam tempoh pertama mereka memerintah.
“Itu tahun ‘honeymoon’. Lepas itu rakyat buat perbandingan. Bila kena sumbat lima gol berturut-turut mereka kucar-kacir. 'Rumah tangga' PH runtuh,” katanya merujuk kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung selepas PRU14.
Ahmad Shabery yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman berkata, apa-apa perkara boleh berlaku pada masa akan datang.
“Sekarang pun rakyat masih memerhatikan kita. Bukan bagaimana kita gunakan sumber dan ‘apparatus’ tapi bagaimana kita menjaga amanah untuk berikan yang terbaik untuk mereka. Apa-apa pun boleh berlaku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!