Usul tolak kerjasama Bersatu bakal hangatkan mesyuarat UMNO Perak

Mohd Zolkafly pada sidang akhbar di Ipoh pada Rabu.
Mohd Zolkafly pada sidang akhbar di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menghangatkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian empat peringkat di Perak yang bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara berkenaan tidak mustahil menjadi fokus utama perbahasan memandangkan ia berkait rapat dengan isu semasa politik di peringkat Pusat dan negeri ketika ini.

"Perbahasan usul ini sebenarnya tertakluk kepada bahagian masing-masing tetapi ada kemungkinan (kerjasama UMNO dan Bersatu) akan dibincangkan di peringkat akar umbi membabitkan bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

"Ini kerana ia juga sebahagian langkah kita untuk memperkasa dan mengatur strategi yang lebih baik dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, persidangan kali ini bukan untuk memenuhi kehendak daftar pertubuhan semata-mata tetapi lebih penting kesiapsiagaan kepimpinan dari pelbagai peringkat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun depan.

"Jadi apa juga berkaitan hal kepartian, pastilah ia akan menjadi fokus perwakilan untuk dibahas dan dibincangkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput itu berkata, persidangan di semua 24 bahagian Perak kali ini tidak akan membabitkan kehadiran wakil Pas bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kehadiran orang ramai di dalam dewan.

"Kali ini kehadiran terhad untuk UMNO sahaja, kita ambil contoh di Sungai Siput yang mempunyai lebih 400 perwakilan, tetapi oleh kerana ada SOP perlu dipatuhi dari segi penjarakkan dan sebagainya, kapasiti di dewan mungkin boleh memuatkan 250 orang sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Zolkafly yang juga Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri merasmikan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!