Covid-19: Enam kematian, lapan kluster baharu
PUTRAJAYA - Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima enam kematian berkaitan Covid-19 pada Rabu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 463 kes.
"Ia bersamaan dengan 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, empat kes kematian tersebut dilaporkan di hospital Sabah dan masing-masing satu di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.
"Mereka yang maut adalah seorang wanita dan lima lelaki berusia antara 45 hingga 69 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit lain," katanya.
Beliau berkata, KKM turut mengenal pasti lapan kluster baharu di Lembah Klang, Johor, Perak, Pahang dan Kedah.
"Kluster Tembok Choh melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai, dan Mersing.
"Kes kluster tersebut telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 24 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah pusat tahanan.
"Sehingga 30 Disember, 1,020 individu telah disaring, di mana 382 kes telah dikesan positif," katanya.
Menurutnya, di Lembah Klang pula, KKM mengenal pasti Kluster Tapak Bina Broga di Hulu Langat, Tapak Bina Jalan Stesen dan Kluster Slot Berjaya di Lembah Pantai serta Kluster Jalan Nicholas yang dikesan di Titiwangsa.
"Kluster Gerbang Pongsu melibatkan Kerian dan Kinta di Perak dengan lapan kes disahkan positif Covid-19," katanya.
Tambahnya, Kluster Damai Ketari dilapor di Bentong, Pahang merekodkan 21 kes positif manakala Kluster Alor di Kota Setar mempunyai 20 kes.
Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, terdapat 506 kluster telah dilaporkan.
"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 283 termasuk lima yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia, Kluster Assumption, Kluster Blok 31, Kluster Tanjung Bunga, dan Kluster Jeri.
"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 223 kluster," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!