Kuasa Islam pada tahun 2020

A
A
A

TAHUN 2020 melabuhkan tirainya dengan beberapa pola kuasa politik umat Islam yang cukup dinamik. Di sebalik krisis pandemik Covid-19, terdapat beberapa peristiwa besar yang mengimpak trajektori jangka panjang di negara-negara umat Islam bukan sahaja di Asia Barat, bahkan juga di Asia Tenggara.

Fokus utama di Asia Barat tentulah tragedi empat negara Islam bertindak menormalisasikan hubungan dengan Israel – Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan terbaharu Maghribi. Tragedi itu cukup memeritkan.

Pemimpin negara-negara tersebut seharusnya mengetahui apa yang terjadi kepada Palestin selepas menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993.

Sejarah membuktikan bagaimana janji keamanan hanyalah helah rejim Zionis untuk menjinakkan pemimpin Arab yang buta percaturan geopolitik.

Hingga ke hari ini, penjajahan haram pendatang Yahudi terus berleluasa di bumi Palestin, Gaza terus dikepung, Tebing Barat tidak pernah aman dan stabil untuk jangka masa yang lama.

Di sebalik tragedi empat negara Islam tersebut, perkembangan yang positif hadir dari Turki.

Di saat negara pewaris Khilafah Uthmaniyyah itu diserang hebat dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan, Turki mengumumkan penemuan 320 bilion meter padu gas yang terbesar di Laut Hitam dalam sejarah yang bakal menamatkan kebergantungan kepada import tenaga asing.

Lebih menakjubkan, penemuan itu berlaku tidak lama selepas Turki mengembalikan status Hagia Sophia menjadi masjid.

Artikel Berkaitan:

Penemuan gas itu bakal memberi impak besar bukan sahaja ke atas trajektori kuasa ekonomi tetapi juga kuasa politik dan ketenteraan Turki.

Untuk rekod, mata wang Lira Turki berada dalam keadaan tekanan, khususnya selepas Amerika Syarikat mengenakan beberapa sekatan ke atas Turki.

Malah, Turki juga disingkir daripada projek pesawat pejuang F-35 dari Amerika hingga kerugian tidak kurang setengah bilion USD semata-mata kerana membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia.

Perkembangan menarik turut berlangsung dalam konteks parti Islam di Malaysia. Selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac tahun ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Pelantikan itu membuka laluan kepada satu pertemuan pada 22 April 2020 antara Abdul Hadi dengan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Prinsip

Dalam pertemuan tersebut, Abdul Hadi telah berkongsi prinsip dan langkah-langkah kerjasama antara negara menurut perspektif Islam kepada Hishammuddin.

Prinsip pertama, ‘Asas hubungan antarabangsa dalam Islam adalah mendahulukan perdamaian, bersikap toleransi dan bekerjasama sesama manusia’.

Kedua, ‘memanfaatkan kedudukan negara Islam yang strategik dan kaya dengan sumber manusia dan hasil bumi’.

Ketiga, ‘Bangkit menyahut seruan ke arah kesatuan Islam’. Keempat, ‘Menghentikan sikap asabiyah perkauman’. Kelima, ‘Bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti perubatan, teknologi, dan pertanian.’

Keenam, ‘Kerjasama antara negara Islam yang kaya dengan negara Islam yang miskin tetapi mempunyai tanah yang subur, kepakaran dan tenaga kerja.’

Ketujuh adalah ‘Mengambil berat urusan umat Islam yang ditindas dan menjadi mangsa pelarian’.

Perkembangan menarik turut berlaku di Indonesia. Negara dengan jumlah umat Islam terbesar dunia itu bukan sahaja menolak hubungan diplomatik dengan Israel, malah Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika sambutan Hari Santri (Sekolah Pondok) Nasional membuat kenyataan: “Santri adalah salah satu simbol pergerakan melawan kezaliman penjajahan di masa Indonesia merebut dan mempertahankan kemerdekaan.

Sebuah resolusi yang mewakili putra-putri bangsa dalam mewujudkan cinta tanah air dalam nafas Islam.

”Semoga tahun 2021 akan menghadirkan lebih banyak perkembangan positif untuk kuasa politik umat Islam di seluruh dunia.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!