Nasihat Shearer untuk Werner
BEKAS peledak berbisa Liga Perdana Inggeris (EPL), Alan Shearer menasihati penyerang Chelsea, Timo Werner supaya lebih agresif sekiranya mahu bersaing dalam saingan liga itu.
Menurutnya, kegagalan Werner untuk meledak gol dalam beberapa perlawanan terakhir membuktikan pemain kelahiran Jerman itu masih belum mampu menyesuaikan diri dengan suasana EPL.
"Jika saya menjadi Werner, saya akan merebut bola setiap kali Chelsea dihadiahkan penalti. Itu adalah peluang yang sangat bagus untuk bangkit dan menjaringkan lebih banyak gol. Impak dan perasaan ketika melihat bola mengenai jaring akan menyebabkan anda lebih bersemangat.
"Dalam sesi latihan pula, saya akan berlatih dua kali ganda. Saya akan meminta sesiapa menghantar bola kepada saya dari sudut sukar dan saya akan berdiri beberapa jarak kemudian menjaringkan gol. Mungkin ia kedengaran remeh, tetapi saya akan melakukannya berulang kali untuk menaikkan keyakinan diri.
"Ia berkaitan perbuatan berulang yang anda lakukan sehingga ia membuahkan hasil," katanya.
Werner menyertai Chelsea pada musim panas lalu dengan nilai £47.5 juta (RM252.6 juta) selain membawa harapan besar mampu mengemudi Chelsea lebih tajam di depan gol.
Permulaan karier pemain berusia 24 tahun itu bersama Chelsea tampak baik apabila menjaringkan lapan gol dalam semua kejohanan.
Namun, segalanya berubah apabila Werner gagal menjaringkan sebarang gol dalam 11 perlawanan berturut-turut sekali gus mengundang kecaman banyak pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!