AS tolak resolusi kecam Israel usir kumpulan pemerhati di Hebron
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) membuktikan sekali lagi kepada dunia sokongan tidak berbelah-bahaginya kepada rejim Zionis apabila menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang mengecam tindakan Israel mengusir kumpulan pemerhati awam antarabangsa sementara Hebron (TIPH).
Semalam, Kuwait dan Indonesia menyampaikan usul tersebut semasa mesyuarat tertutup UNSC bagi membincangkan keputusan Tel Aviv untuk tidak memperbaharui mandat TIPH di Tebing Barat.
Presiden UNSC, Anatolio Ndong Mba berkata, majoriti negara-negara anggota tetap UNSC mengecam tindakan Israel namun Washington beranggapan draf berkenaan berat sebelah.
TIPH ditubuhkan selepas penduduk Yahudi di penempatan haram didakwa membunuh 29 penduduk Palestin di Hebron pada 1994.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada awal minggu lalu menuduh TIPH berat sebelah dan tidak akan melanjutkan mandatnya,
Keputusan berkenaan mendapat reaksi segera Turki dan menganggap ia sebagai langkah baharu untuk menutupi undang-undang dan harus dikutuk.
Sejak 1970, Amerika telah menggunakan kuasa vetonya untuk menolak lebih 40 resolusi Majlis Keselamatan terhadap rejim Zionis Israel. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!