Maqis gagalkan cubaan seludup 466kg belangkas
LUMUT - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak menggagalkan cubaan membawa masuk 466 kilogram belangkas bernilai RM4,660 di Pintu Masuk Maqis Pelabuhan Lumut pada Rabu.
Pengarahnya, Rozita Superman berkata, belangkas yang diimport dari Indonesia itu didapati tidak mempunyai permit import yang sah yang dikeluarkan oleh Maqis.
“Semasa pemeriksaan tong ikan dari kapal import, belangkas tersebut ditemui dalam lapan tong yang turut berisi dengan ikan bagi mengaburi mata penguat kuasa.
“Perbuatan itu merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.
Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali.
Katanya, Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu masuk negara dengan teliti untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!