Membanteras zina tanggungjawab bersama
GEJALA pembuangan bayi begitu menjadi-jadi dewasa ini. Tanpa naluri kemanusiaan bayi yang dilahirkan itu dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa yang dilakukan oleh ibu bapa bayi tersebut. Bayi yang tidak berdosa itu menjadi mangsa dan hak mereka untuk hidup di dunia telah dihakis oleh ibu bapa yang tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas dari hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan orang yang membunuh bayi ini namun sudah pasti di akhirat kelak ALLAH akan membalas perbuatan mereka ini dengan azab seksaan ALLAH. Di akhirat nanti kita sudah pasti tidak akan terlepas dari hukuman ALLAH.
Di sana kelak, tiada peguam yang akan mampu membela orang yang melakukan kesalahan di sisi ALLAH. Perbicaraan di padang mahsyar itu begitu adil dan setiap amalan walau sebesar zarah akan dibalas sewajarnya.
Gejala membunuh bayi ini begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada perasaan malu lagi berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang dalam kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja di dalam parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi norma di sesetengah tempat.
Malah cubaan untuk mengawal moral sebegini sering kali ditentang kononnya melangkaui hak asasi manusia. Penggubalan undang-undang berkaitan kawalan moral tidak dapat dilakukan malah undang-undang sedia ada berkaitan dengan moral juga hendak dihapuskan.
Persoalan mengenai sama ada ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan beberapa NGO. Mereka melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu.
Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan sahaja yang layak menghukum mereka. Namun apabila gejala membuang bayi ini berlaku, tidak pula kedengaran usaha bagi mengetatkan undang-undang moral. Malah sebuah kempen menjauhi zina yang dibuat oleh LPPKN turut diselar kerana memasukkan elemen agama oleh NGO ini.
Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah.
Undang-Undang sebenarnya adalah bersandarkan kepada moral dan moral adalah bersandarkan kepada agama.
Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam sebagai agama negara. Sebagaimana yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah “Apakah akhlak Rasulullah” Aishah menjawab “Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.” Oleh itu apabila terdapat di dalam al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah Kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila terdapat di dalam al-Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang kita tidak dapat lari dari mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah begitu asing dari Islam. Kalau dulu apabila ayat al-Quran tentang pengharaman arak diturunkan maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang setelah 1400 tahun berlalu penghayatan terhadap al-Quran adalah amat rendah. Oleh itu hukuman berbentuk keduniaan ini perlu bagi berperanan sebagai penghalang kepada budaya meminum arak ini.
Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan. Maka terdapat lakonan dalam perundangan ini. Secara hipotetikalnya, apabila undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?
Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi kerana pendidikan bertindak sebagai “amar maaruf” manakala hukuman dalam bentuk perundangan “bertindak sebagai “nahi mungkar”. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih sahaja. Amar makruf dan nahi mungkar ini sebenarnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Dalam Islam penguat kuasa agama terletak di dalam ‘wilayah al hisbah’. Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang tersendiri. Jika kita meneliti kaedah-kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian bahawa suatu hari nanti mungkin ada undang-undang Islam yang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah andaian yang melampau dan meleset serta tidak diasaskan kepada kaedah-kaedah feqah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar r.a yang terkenal garang pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.
Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.
Berbalik kepada gejala pembuangan bayi ini, sudah pasti jawapan bagi menangani gejala ini ialah berbalik kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan memakai undang-undang yang digariskan oleh Islam. Menjauhi zina adalah kewajipan setiap umat Islam, memastikan zina tidak berlaku pula adalah tanggungjawab masyarakat.
* Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!