'Sedih... misteri pintu rumah diketuk dikaitkan dengan saka'
TEMERLOH - Empat beranak di Taman Temerloh Jaya di sini mendakwa diganggu unsur mistik selama tiga hari antaranya pintu rumah diketuk, lampu padam sendiri termasuk barangan dalam kediaman mereka tercampak dan kisah keluarga itu tular di Facebook hingga menarik perhatian orang ramai.
Nurul Izah Ali,18, mendakwa, namun malangnya, terdapat kenyataan melukakan hatinya dan keluarga kerana ada pihak yang mengaitkan gangguan misteri itu dengan unsur saka.
"Pada hari pertama kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, saya sekeluarga menyangka pintu rumah berbunyi seperti ketukan disebabkan oleh kucing peliharaan kami.
"Namun saya dan keluarga mula merasa hairan pada hari kedua kejadian apabila terdengar ketukan pada pintu bahagian depan dan belakang rumah kira-kira jam 11.50 malam. Kemudian terdengar lagi ketukan di pintu rumah pada hari ketiga dan kali ini memang menakutkan kerana bunyi ketukannya kuat dan pintu bergegar hingga rosak. Waktu kejadian kira-kira jam 8.45 malam," kata remaja berkenaan sudah tinggal di rumah itu selama kira-kira 10 tahun.
Menurut gadis itu, ibunya kemudian meminta bantuan daripada seorang perawat Islam dikenali sebagai Ustaz Azmi bagi membantu mereka berhubung gangguan misteri berkenaan.
Katanya, selepas perawat tersebut meninggalkan rumah mereka kira-kira jam 12 tengah malam, berlaku lagi ketukan pada pintu yang kuat dan lampu rumah mereka kemudian terpadam beberapa kali selain barangan dalam rumah turut tercampak sendiri.
Tambah Nurul Izah, namun setakat ini gangguan itu telah pulih dan tiada lagi gangguan di rumah tersebut yang turut didiami oleh ibunya serta dua adik lelakinya yang masing-masing berusia 12 dan empat tahun.
"Syukur kerana tiada lagi gangguan. Semangat ibu yang sebelum ini lemah juga sudah semakin pulih. Namun kami begitu terkilan susulan banyak persepsi mengarut mengenai kisah kami ini muncul selepas ia tular di media sosial.
"Ada komen mengarut dan menuduh kami membela saka. Bahkan hati kami sekeluarga sangat terluka memandangkan ayah saya baru 10 hari meninggal dunia akibat serangan strok," luah remaja itu lagi dengan kesal.
Dalam pada itu, gadis tersebut menambah, ramai perawat menawarkan khidmat mereka untuk membantunya sekeluarga.
"Ada yang datang ke rumah dan beritahu 'gangguan itu' masih ada di rumah saya tetapi saya dan keluarga ambil langkah berjaga-jaga sebab risau jika ada pihak yang cuba ambil kesempatan," ujarnya.
Sementara itu, perawat yang membantu Nurul Izah dan keluarganya menafikan gangguan dihadapi keluarga itu angkara sihir.
"Saya harap janganlah sebarkan perkara yang tidak pasti. Tolong jaga perasaan keluarga ini. Jangan timbulkan cerita yang bukan-bukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!