Tahun 2021 lebih mencabar

A
A
A

TIRAI 2021 nampaknya disambut muram. Situasi tahun 2021 ini jelas akan dicorak oleh wabak global Covid-19 yang datang tidak diduga. Kesannya merentas sempadan negara.

Malah sehingga vaksin baharu dilulus, kesannya akan melimpah ke seluruh dunia dalam tempoh yang melangkau tahun 2021.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan pandangan masa depan dunia paling gelap untuk tahun 2021.

Amarannya sangat menakutkan. Ia meramal tahun 2021 mungkin memperlihatkan malapetaka kemanusiaan terburuk sepanjang 75 tahun tempuh kewujudan PBB.

Ketua Program Makanan Dunia, David Beasley mengatakan tahun 2021: “Secara literalnya akan menjadi tahun malapetaka dan membawa krisis kemanusiaan terburuk.”

Kordinator Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Darurat PBB, Mark Lowcock mengungkap tahun 2021 adalah tahun paling gelap dan sangat buruk dari perspektif keperluan kemanusiaan.

Menurut Lowcock, Covid-19 telah menyebabkan jutaan hilang pendapatan, jutaan lagi hilang tempat tinggal akibat konflik dan kesan daripada perubahan cuaca yang dijangka memberi impak lebih buruk.

Perhimpunan PBB telah dimaklumkan dana tidak mencukupi untuk menampung jutaan mangsa yang memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

Bermakna PBB terpaksa menagih sumbangan dari negara anggotanya. Ini pasti sukar kerana masing-masing berdepan tekanan ekonomi yang parah juga.

Dijangka pada tahun 2021, seramai 235 juta penduduk dunia diramal memerlukan bantuan kemanusiaan – meningkat 40 peratus dari 2020.

Lowcock memberi amaran, pada November 2021 dunia akan melihat merebaknya kebuluran paling obscene yang dikatakan juga akan mencetuskan perang di negara yang terlibat.

PBB terpaksa menyalurkan AS$100 juta untuk memerangi kebuluran seluruh dunia terutama di Afghanistan, Burkina Faso, Congo, Nigeria, Sudan Selatan dan Yemen, yang menerima peruntukan paling tinggi – AS$30 juta.

Negara lain berdepan dengan isu ketiadaan jaminan makanan yang kronik dan menjadi lebih parah akibat pandemik.

Pandemik Covid-19 merempuh kesihatan dan ekonomi global pada tahun 2020. Sehingga rencana ini tulis, lebih 80 juta warga dunia dijangkiti dan lebih 1.8 juta maut menurut Universiti Johns Hopkins.

Angka ini mungkin lebih tinggi kerana ada negara yang tidak mampu menguji ramai penduduknya dan terlalu banyak kes tiada gejala.

Pada Oktober, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran 10 peratus populasi dunia mungkin sudah dijangkiti. Vaksin sepatutnya sudah diedarkan namun ia tidak mungkin mencapai sebahagian besar negara miskin.

Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan, beliau khuatir ramai orang sangka pandemik ini telah tamat hanya kerana vaksin telah ditemui.

Tidak kurang perubahan cuaca akan membawa malapetaka besar pada tahun 2021. Ribut taufan, kebakaran besar, banjir berskala besar, gempa bumi dan kecairan kawasan kutub bakal membawa penderitaan kepada jutaan penduduk.

Di Malaysia, keadaan juga kelihatan sukar untuk diandai bahawa keadaan ini akan pulih dalam masa singkat.

Bagaimanapun, ada yang memberi unjuran pertumbuhan ekonomi bakal mencapai 6 -7 peratus namun itu jelas suatu angka yang dipertikai.

Kesan kelembapan ekonomi yang membawa kepada kehilangan pekerjaan dan pengangguran yang tinggi kini melibatkan jutaan rakyat.

Apakah tahun 2021 boleh memberi harapan yang baik? Kita boleh berazam dengan optimis untuk mengharapkan keadaan negara akan bertambah baik, akan tetapi siap sedia berdepan keadaan yang lebih gusar.

Malah, bersedia dengan keadaan yang lebih parah dalam kalangan warga rakyat sehingga kepada kepimpinan negara.

Perhimpunan PBB telah dimaklumkan dana tidak mencukupi untuk menampung jutaan mangsa yang memerlukan bantuan.”

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!