RMK12 bakal beri tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi
KUALA LUMPUR - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bakal memberi tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.
“Infrastruktur fizikal dan digital di bandar dan luar bandar akan dibina untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing serta dapat merebut peluang ekonomi baharu di peringkat global,” kata Muhyiddin semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2021, di sini, pada Khamis.
Sejajar dengan itu, katanya, kerajaan akan melancarkan Dasar Digital Negara pada suku pertama 2021 dengan penumpuan khusus kepada pembangunan sistem rangkaian 5G.
“Insya-Allah, apabila diumumkan kelak, saya yakin RMKe-12 akan memperlihatkan visi ekonomi Malaysia yang jelas untuk dekad baharu ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus bersifat inklusif dan memanfaatkan rakyat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!