Kes dakwaan buang bapa tular semula
SHAH ALAM - Kisah seorang lelaki warga emas yang ditinggalkan di tepi jalan sekitar Kota Kemuning di sini merupakan insiden lama yang ditularkan semula di laman sosial Facebook pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada Mac lalu.
“Kes tersebut adalah Mac lalu pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Ia ditularkan semula.
"Kes ini merupakan masalah keluarga, siasatan mendapati warga emas tersebut enggan tinggal bersama anaknya selepas baru berkahwin," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Terdahulu, tular di laman sosial berhubung dakwaan seorang lelaki warga emas dipercayai dibuang anak kandungnya sendiri ditemui terbaring di tepi jalan di sekitar Kota Kemuning, di sini.
Lelaki tersebut yang dikatakan mempunyai penyakit angin ahmar ditemui oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!