Beradu kehebatan memancing di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU - Penganjuran program ASEAN Monsoon Casting Tournament Special Edition 20/21 mampu meningkatkan jumlah kedatangan pengunjung di Tasik Kenyir di samping menggamit kaki pancing ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu pada musim tengkujuh.
Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Sulaiman Sulong berkata, program yang memasuki tahun ke-12 penganjuran itu antara kalendar penting pelancongan negeri dan menjadi acara wajib bagi penggemar aktiviti memancing setiap tahun.
Menurutnya, program berkonsepkan 'catch and release' itu juga adalah salah satu daripada program pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem Tasik Kenyir yang dirancang.
“Acara ini sebagai tanda dan makluman kepada umum bahawa Terengganu khususnya Tasik Kenyir masih boleh dilawati walaupun pada musim monsun, malah Terengganu mampu menawarkan pelbagai aktiviti dan acara semasa tempoh tersebut.
“Cuma bezanya program tahun ini merupakan penganjuran khas dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat memandangkan kita masih lagi berperang dalam membendung penularan pandemik Covid-19.
“Walaupun kita masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita harap penganjuran aktiviti ini dapat melonjakkan lagi kempen ‘Beautiful Terengganu Malaysia’,” katanya selepas 'flag off' program di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir pada Khamis.
Program itu anjuran Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tourism Malaysia dan diuruskan oleh Sekretariat ASEAN Monsoon Casting Tournament.
Seramai 140 peserta dari seluruh negara menyertai program berkenaan dan jumlah itu dijangka bertambah memandangkan ia berlangsung tiga hari sehingga Sabtu.
Sulaiman berkata, penyertaan yang diterima cukup menggalakkan walaupun hanya melibatkan peserta dalam negara, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya susulan Covid-19.
“Penganjuran kejohanan ini adalah salah satu cara untuk kita terus menggerakkan industri pelancongan di Terengganu, di samping memastikan pusingan ataupun kitaran industri pelancongan dapat terus berjalan.
“Kita juga sedia maklum, sebelum ini apabila tiba musim hujan, aktiviti pelancongan sedikit terganggu tapi kita mempelbagaikan aktiviti supaya industri pelancongan terus dapat hidup dan berjalan walaupun apa saja musim.
“Kita akan lebih menggiatkan promosi sempena dengan Tahun Melawat Kenyir 2021 di samping produk pelancongan lain secara menyeluruh, sebab kita melihat pelancongan ini sebagai industri yang besar yang memberikan impak ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!