Pesakit kanser jangan putus asa
SHAH ALAM - Pesakit kanser di negara ini tidak perlu lagi mencari hospital luar negara untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit itu.
Pakar Perunding Onkologi Gleneagles Hospital Medini Johor, Dr Mohd Roslan Haron berkata, perkhidmatan rawatan yang ditawarkan di hospital kerajaan dan swasta di Malaysia kini berada pada tahap yang cukup maju.
“Di Malaysia kita sudah ada semua (perkhidmatan) pada tahap yang membanggakan (terutamanya) dari segi rawatan kanser.
“Malah, kita sudah ada ramai pakar onkologi lulusan dalam negara yang boleh memberikan rawatan yang mantap, berkesan mengikut asas saintifik.
“Rawatan boleh didapati di hospital kerajaan, walaupun tidak semua hospital kerajaan ada pusat onkologi tetapi sebahagian besarnya ada (rawatan kanser) termasuklah di Hospital Kuala Lumpur.
“Di hospital swasta pun sama, tidak semua ada pusat onkologi tetapi rawatan itu ada disediakan di beberapa buah hospital swasta dalam negara,” katanya ketika sesi Sinar Live bertajuk ‘Kanser Bukan Penamat Kehidupan’ di Studio Karangkraf di sini pada Rabu.
Menurutnya, pesakit kanser yang disahkan menghidap penyakit yang paling digeruni itu juga diingatkan supaya tidak takut untuk mendapatkan rawatan.
Ini kerana katanya, dengan kaedah rawatan seperti kemoterapi merupakan salah satu usaha pemulihan kepada pesakit.
“Penghidap kanser yang baharu diagnosis jangan putus asa. Datang ke hospital dan dapatkan rawatan.
“Kita tahu ramai yang bimbang dan takut dengan kesan sampingan daripada rawatan kanser tetapi ingatlah kesan yang dihadapi itu juga ada proses pemulihan dan selepas itu ia akan kembali kepada sedia kala,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Roslan turut memberitahu penyakit kanser tiada kaitan secara langsung dengan cara pemakanan atau cara kehidupan seseorang.
Malah katanya, tiada juga kajian saintifik membuktikan penyakit kanser merupakan penyakit keturunan.
“Buat masa ini, mereka yang belum terkena kanser digalakkan makan makanan yang sihat.
“Paling penting, apabila seseorang disahkan menghidap kanser jangan sesekali takut pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana penyakit kanser bukan penamat kehidupan,” katanya.
Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Dr Mohd Roslan di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!