Covid-19: Kerajaan perlu pastikan pembelian vaksin dipercepat
SHAH ALAM - Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kerajaan Singapura yang memberi vaksin Covid-19 menerusi dana pembiayaan menerusi akaun rizab antarabangsa dari Cenral Bank of Singapore bagi memastikan pembelian vaksin itu dapat dipercepatkan.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jika usaha dilakukan, pelaksanaan itu tidak boleh melebihi tiga peratus daripada jumlah rizab tersebut.
''Jika ini dapat dilakukan di Malaysia, pastinya rakyat akan berbesar hati dan berterima kasih serta akan terus menyokong dan berkerja keras untuk kemakmuran negara,'' katanya menerusi Perutusan Tahun Baru yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, tahun 2020 sangat mencabar buat seluruh rakyat sama ada dalam aspek ekonomi, politik atau kesihatan.
Beliau berkata, serangan musuh halus hingga ke seluruh negara dan dunia merupakan ujian terbesar.
''Saya amat berharap cabaran dan ujian daripada Covid-19 yang kita hadapi sejak Februari lalu akan berakhir tidak lama lagi.
''Walaupun kini terdapat berita positif berkenaan vaksin Covid-19, saya berpandangan kita perlu teruskan gaya hidup normal baharu demi memastikan rantaian wabak ini tidak berterusan,'' katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!