PRU15 diramal antara April dan Jun tahun ini: Mahdzir
KUALA NERANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid meramalkan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin diadakan antara April dan Jun tahun ini.
Menurutnya, perbezaan kecil sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi antara faktor PRU bakal diadakan pada tahun ini.
"Perbezaan yang terlalu kecil di Dewan Rakyat, segala kemungkinan boleh berlaku. Kita cuma mendapat 111 undian berbanding 108 ketika meluluskan Belanjawan 2021 baru-baru ini. Margin antara kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.
"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehari sebelum Parlimen ditangguhkan kata mahu PRU15 diadakan secepat mungkin. Beliau juga ada jumpa semua ahli-ahli Parlimen kerajaan dan kita (Barisan Nasional) sedang mempersiapkan ke arah itu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Pengerusi UMNO Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Naib Ketua UMNO Padang Terap, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Ketua Wanita UMNO Padang Terap, Che Arpah Ariffin.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Padang Terap berkata, persiapan menghadapi PRU15 sedang giat dilaksanakan dan beberapa kelemahan pada PRU14 dikenalpasti dan sedang diperbaiki.
"UMNO ini ada pengalaman dan telah lalui 14 kali PRU dan kalah sekali pada PRU14. Kita dah lalui proses cuma kebelakangan ini media sosial menjadi salah satu sebab BN kalah. Kita sedang ke arah itu termasuk mengurus balik operasi parti pada era digital," katanya.
Mengulas mengenai pengagihan kerusi pula, Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah berkata, semua keputusan akan ditentukan oleh jawatankuasa yang dibentuk di peringkat pusat.
Menurutnya, bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini bersetuju agar mana-mana kerusi yang dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain kembali diserahkan kepada UMNO pada PRU15.
"Wakil rakyat yang melompat parti lain ini pun dulu menang atas tiket UMNO. Maka kerusi tersebut perlu dikira sebagai hak UMNO jugalah," katanya.
Terdahulu pada Rabu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, PRU15 dirasakan hanya akan diadakan menjelang tempoh akhir PRU-14 iaitu pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!