26 orang kena kompaun malam Tahun Baharu
BUTTERWORTH - Seramai 26 individu dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala sebanyak 21 saman trafik dikeluarkan susulan orang ramai didapati masih berdegil dengan berkumpul di beberapa tempat bagi meraikan malam Tahun Baharu 2021.
Walaupun tiada sebarang acara diadakan, namun orang ramai masih berkumpul di beberapa lokasi di kawasan Bagan Ajam di sini, bagi meraikan kehadiran tahun 2021 lewat malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya melancarkan Ops Ambang Tahun Baharu 2021 bagi memantau kawasan yang sering menjadi tumpuan ramai bagi menyambut tahun baharu di sini.
Menurutnya, dalam siri pemeriksaan pertama yang dilakukan polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihaknya mengeluarkan kompaun kepada 13 individu berusia 17 hingga 42 tahun kerana tidak mengamalkan penjarakkan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.
"Beberapa jam kemudian kami datang lagi ke lokasi sama dan mendapati pengunjung masih berkumpul dan ada di antara mereka yang tidak menghiraukan SOP.
"Dalam pemeriksaan kedua ini, kita mengeluarkan kompaun kepada lapan individu berusia 27 hingga 31 tahun atas kesalahan sama serta mengeluarkan 21 saman terhadap pemilik kereta yang parkir kenderaan di kawasan tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Noorzainy, pemeriksaan seterusnya dilakukan di Taman Mewah dan polis menahan lima lelaki yang tidak melakukan penjarakkan fizikal serta memakai pelitup muka ketika sedang melepak di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, walaupun kebanyakan di antara mereka memakai pelitup muka namun masih terdapat individu yang tidak mengamalkan penjarakkan fizikal seperti ditetapkan SOP bagi mencegah penularan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!