Helikopter terhempas ketika latihan penerbangan
KLANG - Helikopter yang dilaporkan terhempas di kawasan tanah lapang milik persendirian di Jalan PKFZ Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada pagi Jumaat dipercayai sedang membuat latihan penerbangan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan telefon daripada seorang polis bantuan Westports memaklumkan kejadian sekitar jam 10 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati helikopter jenis Robinson itu milik sebuah syarikat di Subang.
"Juruterbang dipercayai hilang kawalan sewaktu membuat latihan 'hovering' di kawasan tanah lapang berdekatan PKFZ Westports sebelum terhempas dari ketinggian lebih kurang tiga hingga empat meter.
"Keadaan helikopter terbalik dan bahagian ekor helikopter tercabut serta tercampak lebih kurang 20 meter dari badan helikopter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan oleh pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan juruterbang, Khairudin Dahlan, 73, dan pembantu juruterbang, Moithu Kutti Mohamad, 53, cedera dalam kejadian itu.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera helikopter terhempas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!