Makam berusia lebih 500 tahun ditemui

Nazri menunjukkan bentuk batu nisan Aceh yang ditemui.
Nazri menunjukkan bentuk batu nisan Aceh yang ditemui.
A
A
A

REMBAU - Sebuah makam dianggarkan berusia lebih 500 tahun ditemukan di kawasan rumah di Chengkau di sini, kira-kira 100 meter dari Sungai Penajis yang dahulunya merupakan laluan pelabuhan.

Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata, berdasarkan bentuk batu nisan Aceh berkenaan ia dipercayai milik seorang wanita yang merupakan individu penting ketika Kesultanan Aceh.

"Batu Aceh ini berasal dari utara Sumatera dan di Malaysia, batu Aceh hanya digunakan sebagai tanda bagi makam orang kenamaan

seperti sultan, kaum kerabat serta pembesar kerajaan.

"Hal ini berkemungkinan ada kaitan dengan hubungan perdagangan serta hubungan kekeluargaan antara pemerintah di Semenanjung Malaysia dengan pembesar Utara Sumatera terutama Aceh.

“Buat masa ini di daerah Rembau terdapat empat buah makam yang terdapat batu nisan Aceh. Tiga lagi makam adalah Makam Raja Melewar, Makam Datuk Bungkal dan Makam Tok Tua, " katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, penemuan batu Aceh terbaharu itu disifatkan paling lengkap berbanding lokasi lain.

Artikel Berkaitan:

Makam berusia lebih 500 tahun ditemui di Chengkau, Rembau.
Makam berusia lebih 500 tahun ditemui di Chengkau, Rembau.

Beliau berkata, walaupun tidak mengetahui pemilik makam berkenaan, namun ia merupakan penemuan warisan sejarah yang bernilai dan perlu dipelihara.

"Walaupun kita tidak tahu siapa pemiliknya, tapi berdasarkan keadaan batu nisan itu ia menunjukkan milik orang bangsawan, orang tersohor atau ulama.

"Sebab itu saya telah maklumkan kepada Jabatan Warisan Negara dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan untuk tujuan kajian. Pihak mereka telah datang pada Khamis," katanya.

Menurutnya, penemuan sejarah itu juga perlu dikaji lebih-lebih lagi Rembau merupakan sebuah kerajaan yang terlebih dahulu wujud sebelum adanya Negeri Sembilan.

Selain itu turut ditemui di kawasan berkenaan ialah beberapa kubur dengan nisan batu megalith.

Seorang penduduk, Zaimah Said Ali, 70, berkata, dia tidak pernah mengetahui dengan jelas berkenaan makam berkenaan namun arwah ibunya pernah memberitahu ia dipercayai milik orang kenamaan.

"Macam-macam cerita orang dulu yang saya dengar. Tapi tak pernah pula saya tahu siapa pemiliknya termasuk usia makam ini.

"Eloklah jika pihak berwajib mahu mengkajinya jika benar ia adalah penemuan sejarah yang bernilai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!