[VIDEO] 15 jam bertarung nyawa berenang selamatkan diri
PASIR PUTEH - 'Berpantang maut, sebelum ajal,' demikian nasib empat nelayan yang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian, Terengganu pada malam Khamis.
Kesemua mereka ditemui penduduk setempat di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar pagi Jumaat selepas bertarung nyawa hampir 15 jam di lautan untuk menyelamatkan diri.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kumpulan nelayan tersebut terpaksa berenang sejauh 12.6 kilometer (km) sambil melawan pukulan 'ganas' ombak susulan laut bergelora dan angin kencang.
Tekong bot, Tuan Azhar Tengku Long, 47, menyifatkan nasib mereka cukup baik kerana pemakaian jaket keselamatan amat membantu dalam insiden berkenaan.
"Ketika kejadian kami sedang menarik pukat, secara tiba-tiba cuaca bertukar dan ketika itu ombak mencecah ketinggian antara 4 hingga 5 meter.
"Kesan pukulan ombak itu menyebabkan bot yang kami naiki bocor seterusnya dimasuki air dan kemudiannya tenggelam.
"Kejadian ini berlaku dengan pantas, mujurlah kami semua tidak panik dan sempat memakai jaket keselamatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tok Bali, di sini.
Menurutnya, selepas bot karam mereka yang memakai jaket keselamatan itu terus berenang menyelamat diri menuju ke arah pulau berhampiran.
Katanya, dia bersama anaknya, Tuan Azrizal, 19, dan dua lagi awak-awak iaitu Norizan Yusof, 45, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, selamat tiba di pantai sekitar jam 4 pagi.
Tuan Azhar berkata, dia bersyukur kerana mereka semuanya selamat dalam insiden berkenaan.
Katanya, bagaimanapun salah seorang dari awak-awaknya iaitu Asaari Leh, 43, hilang dan belum ditemui.
"Saya dan rakan-rakan berdoa agar Asaari selamat ditemui kerana dia juga memakai jaket keselamatan," katanya.
Terdahulu kesemua mangsa selamat tiba di Jeti Maritim Malaysia Kelantan pada jam 1.30 petang dari Pulau Perhentian dengan menaiki Kapal Maritim (KM) Amanah.
Kepulangan mereka itu disambut oleh sanak-saudara yang 'berkampung' di jeti tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!