Lanjutan tempoh bayaran PTPTN legakan graduan
SHAH ALAM - Langkah kerajaan melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak dilihat melegakan peminjamnya.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, ia memberi kelegaan kepada peminjam terutama graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dan tiada pendapatan stabil kesan pandemik Covid-19.
Menurutnya, tempoh penangguhan itu dilihat memberi ruang kepada graduan mendapatkan pekerjaan yang lebih stabil sekali gus membolehkan mereka membayar semula pinjaman PTPTN mengikut tempoh masa ditetapkan.
"MPPK berharap tempoh lanjutan ini memberi manfaat kepada graduan yang terkesan untuk berusaha sedaya upaya mengambil ruang dan peluang dalam sektor ekonomi.
"MPPK turut berharap lanjutan ini dapat meringankan beban peminjam dan kita akan lebih kuat dalam menghadapi pandemik ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Kerajaan pada Jumaat mengumumkan penangguhan peminjaman PTPTN dan peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 serta belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.
Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember tahun lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!