Cemas diserang lelaki bercangkul

Lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah di Taman Serdang, di sini berjaya diberkas pihak polis pada Khamis. Foto Ihsan pembaca
Lelaki yang dipercayai memecah masuk rumah di Taman Serdang, di sini berjaya diberkas pihak polis pada Khamis. Foto Ihsan pembaca
A
A
A

SITIAWAN - Seorang wanita diserang seorang lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya dengan membawa cangkul dalam kejadian di Taman Serdang, di sini kira-kira jam 10.30 pagi pada Khamis.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira, 40, berkata, ketika kejadian dia bersendirian di rumah dan berada di ruang tamu menonton televisyen sebelum melihat seorang lelaki berseluar pendek membawa cangkul berada di hadapan rumahnya.

Menurutnya, lelaki yang tidak dikenali itu kemudian bertindak memecahkan cermin tingkap dan pintu sebelum masuk ke dalam rumah.

"Pada awalnya saya nampak dia mundar mandir di hadapan rumah dengan cangkul. Selepas itu saya terus kunci semua pintu dan tingkap kerana bimbang kejadian buruk berlaku apabila saya lihat dia membuka pagar rumah.

"Selepas saya nampak pintu sudah pecah dan terkopak, saya terus lari ke dalam bilik dan kunci pintu. Lelaki itu cuba menolak pintu bilik tetapi saya tahan sekuat hati dari dalam sebelum dia keluar," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Ira berkata, dia sempat menghubungi suaminya yang ketika itu sedang bekerja malah turut memaklumkan kepada jiran dan pihak polis mengenai kejadian tersebut.

Katanya, situasi cemas itu berlaku selama 15 minit sebelum lelaki tersebut keluar sambil membawa air yang diambil dari peti sejuk rumahnya.

Menurutnya, suaminya yang pulang ke rumah bertindak mengejar lelaki itu dengan bantuan orang kampung sebelum lelaki itu pergi semula ke rumahnya dan melarikan motosikal suaminya.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur tidak diapa-apakan walaupun situasi yang berlaku sangat mencemaskan terutama apabila lelaki itu bertindak masuk ke rumah dengan membawa cangkul.

"Saya rasa lelaki itu pecah masuk ke rumah bukan untuk merompak kerana beg tangan di meja hadapan tidak diusik, malah tiada kesan rumah diselongkar," katanya.

"Saya terus menghubungi suami, jiran dan polis. Lelaki itu kemudian mengetuk dan menyuruh buka pintu, malah dia juga mengelilingi rumah hampir empat kali," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Katanya, lelaki itu kemudian bertindak agresif dengan merosakkan jaring di pintu jeriji dan memecahkan tingkap serta pintu kayu rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian pecah rumah di Taman Serdang di sini.

Menurutnya, suspek berkenaan juga sudah ditahan pihak polis pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!