Tiga cabaran negara pada 2021

A
A
A

SUDAH dua hari kita melangkah masuk ke tahun baharu 2021. Setelah menempuhi setahun yang sangat sukar dan mencabar, negara dijangka terus bergelut untuk membetulkan apa yang telah berlaku pada sebelum ini.

Daripada impak Covid-19 sehinggalah ke kartel daging haram, 2021 masih merupakan tahun yang mencabar buat semua. Kita berharap agar lima keutamaan kerajaan dalam strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19 sepertimana yang digariskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun baharunya mampu mengatasi permasalahan yang ada.

Dengan program vaksinasi yang dijangka bakal dijalankan menjelang Februari nanti, kita berharap agar usaha untuk mempertingkatkan tahap kesihatan awam dan kesediaan kesihatan negara akan bertambah mantap. Pengajaran Covid-19 jelas menunjukkan bahawa isu kesihatan sama penting sepertimana juga kita mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selepas pengajaran tragedi pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada tahun 2013.

Mempertingkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman pandemik patut dijadikan sebagai agenda nasional sampai bila-bila. Pemerkasaan institusi penyelidikan penyakit berjangkit serta kajian berterusan terhadap penghasilan vaksin wajib diangkat menjadi sebahagian daripada agenda keselamatan negara.

Di samping itu, 2021 juga adalah tahun untuk memperkukuhkan kembali asas ekonomi negara yang rosak teruk disebabkan pandemik Covid-19. Kerajaan harus segera memastikan belanjawan yang telah diluluskan digunakan segera mengikut apa yang telah direncanakan supaya ekonomi negara dapat pulih dengan pantas dan kembali rancak.

Dengan pengurangan eksport dan pelaburan awam masuk ke dalam negara, perbelanjaan kerajaan terutama menerusi perbelanjaan membangun dijangka dapat menstabilkan keadaan.

Untuk rekod, Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia pada tahun 2021 akan mengalami penyusutan kedua terbesar di Rantau Asia Pasifik sebanyak -3.1 peratus selepas Thailand (-5 peratus) dan ketiga Filipina (-1.9 peratus) di mana kadar pertumbuhan serantau dijangka akan tumbuh sekitar 5.4 peratus.

Menerusi fakta tersebut, jelas pengukuhan ekonomi domestik dan penerokaan sumber ekonomi baharu negara seperti ekonomi digital dan teknologi hijau mesti segera direncanakan. Perkara ini menuntut kerajaan untuk mempertingkatkan keupayaan infrastruktur fizikal dan digital negara dengan berusaha untuk mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan ekonomi negara terus berdaya saing dan sentiasa terdedah dengan peluang-peluang baharu yang ditawarkan menerusi sektor ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentulah cabaran yang terbesar sekali tahun ini adalah kestabilan politik dan kerajaan. Tanpa kestabilan politik, dua cabaran sebelum ini barangkali sukar untuk dilaksanakan. Setakat ini kerajaan masih bernasib baik kerana masih memiliki sokongan yang diperlukan untuk terus memerintah, walaupun dengan majoriti tipis.

Untung di sebalik ketidaktentuan politik yang berlaku, negara tidak berhadapan dengan sebarang kekacauan yang timbul daripada perasaan tidak puas hati yang melibatkan sebarang demonstrasi dan rusuhan. Secara umum, kita masih bertuah dan bersyukur kerana ia tidak berlaku disebabkan keutuhan dan perpaduan kaum yang masih berada pada tahap yang baik.

Memang kelihatan ada perkembangan yang baik terhadap kerjasama dan muafakat parti-parti politik, terutamanya kerajaan. Namun begitu, masih belum nampak ada tanda-tanda bahawa aktiviti politik berlebihan dalam kalangan mereka akan berkurangan selepas apa yang berlaku pada tahun lalu. Malah ia mungkin akan lebih panas apatah lagi dengan ura-ura berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini semakin kencang diperkatakan. Apapun, jelas cabaran politik bakal menjadi cabaran utama negara tahun 2021.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!