MAIM urus dana tabung masjid, itu tuduhan jahat pembangkang!

Yuhaizad (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Jasin, di sinar, hari ini.
Yuhaizad (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Jasin, di sinar, hari ini.
A
A
A

JASIN - Amanah kawasan Jasin membuat satu laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dilakukan pemimpin sebuah parti pembangkang dalam satu ceramah di Durian Tunggal, Alor Gajah, Sabtu lalu.

Pengerusinya, Yuhaizad Abdullah mendakwa, tuduhan yang dilemparkan parti politik itu tidak berasas dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menguruskan dana tabung masjid di negeri ini sedangkan MAIM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu.

Menurutnya, setelah kerajaan negeri PH mengambil alih pentadbiran lebih lima bulan lalu juga, tiada sebarang cadangan dalam menguruskan tabung masjid dan ia sememangnya diuruskan oleh setiap pengurusan masjid masing-masing di seluruh negeri ini.

Katanya, setakat ini MAIM telah membuat proses temuduga bagi pemilihan jawatankuasa masjid yang baharu dan akan diumumkan sendiri oleh MAIM pada bulan ini selain mendakwa parti berkenaan telah melemparkan tuduhan fitnah mengenai pengurusan masjid yang didakwa masih tidak mempunyai jawatankuasa sehingga sekarang dan hanya diuruskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Disebabkan tuduhan yang dilemparkan ke atas MAIM, kami tampil membuat laporan polis agar polis dapat mengambil tindakan mengikut undang-undang dan seadilnya.

"Bagi kami ini merupakan satu fitnah dan tuduhan jahat terhadap MAIM serta kerajaan negeri, sedangkan pengurusan masjid beroperasi seperti biasa sehingga 31 Disember tahun lalu," katanya.

Yuhaizad berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.

Yuhaizad yang juga Setiausaha Sulit Ketua Menteri juga tidak teragak-agak untuk memanjangkan perkara itu di peringkat perundangan kelak selain sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Amal Relief Malaysia (ARiF) Melaka turut membuat laporan polis yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan kes itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!