Kim Jong-un tulis surat kepada rakyat Korea Utara
PYONGYANG - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuat tindakan luar biasa apabila beliau menulis surat untuk berterima kasih kepada rakyat negara itu kerana menyokong kepimpinannya ketika menghadapi waktu sukar sempena sambutan Tahun Baharu 2021.
Kandungan surat mengandungi mesej peribadi itu didedahkan selepas Pyongyang yang mendakwa negara itu bebas jangkitan Covid-19 meraikan kedatangan tahun baharu dengan persembahan bunga api dan acara hiburan di Dataran Kim Il Sung yang dinamakan sempena nama datuknya.
“Saya berharap kesemua keluarga di seluruh negara akan memperoleh kebahagiaan lebih besar dan kesihatan lebih baik. Pada tahun baharu ini, saya akan bekerja lebih keras untuk membawa era baharu bagi menunaikan impian rakyat,” ujarnya.
Media tempatan melaporkan ia adalah pertama kali pemimpin Korea Utara menghantar kad ucapan tahun baharu kepada rakyat sejak 1955 dan kali terakhir diutuskan mendiang bapanya, Kim Jong Il.
Menurut laporan agensi berita KCNA, Jong-un turut menziarahi pusara datuk dan bapanya di Istana Memorial Kumsusan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!