Adakah kita dah kalah?
PADA hari terakhir bulan Disember 2020, Malaysia catat jumlah jangkitan Covid-19 paling tinggi dalam sejarah, 2,525 kes. Rakyat macam dah tak terkejut lagi dengan angka itu.
Pada 31 Disember 2020 itu juga jumlah terkumpul kes ialah sebanyak 113,010. Jumlah kes aktif pula ialah 23,598.
Awang kesian tengok Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. Awang rasa walaupun semangatnya tak luntur tapi ada nada sedih dan kecewa apabila dia muncul akhir-akhir ini.
Pada waktu kebelakangan ini jumlah jangkitan begitu menakutkan sekali. Kita dah cecah 100,000 kes dan mungkin akan menuju pada angka 200,000 sebulan dua lagi.
Soalannya apakah kita dah kalah dalam 'perang' ini? Walaupun kita selalu kata kita akan menang tapi nampaknya, ada yang tak kena di mana-mana. Apakah kita perlu fikir strategi baharu? Apakah kita patut buat sesuatu yang berbeza? Atau buat tindakan di luar kotak macam kata orang sekarang?
Kita dah bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020 macam-macam tambah pada namanya. Tapi nampaknya peningkatan kes macam tak terkawal.
PKP apapun namanya, rakyat macam biasa juga. Kereta penuh di jalan. Orang bercuti berduyun-duyun. Orang balik kampung hingga sesak jalan. Orang buat majlis kahwin juga. Macam tak ada apa-apa berlaku.
Sudah sampai masanya kita fikirkan semula cara kita tangani wabak ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!