Jaga tulisan di media sosial
SHAH ALAM - Semua pihak diminta berhati-hati ketika meluah perasaan di media sosial berhubung pelbagai isu sensitif termasuk insiden di Kuil Sri Mariamman.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata setiap pihak perlu bertanggungjawab kerana ia boleh mencetuskan huru-hara.
“Mereka harus lebih bertanggungjawab kerana tulisan itu boleh mengapi-apikan sesetengah pihak dan mencetus huru-hara.
“Apabila berlaku huru-hara, semua pihak pun rugi. Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Selepas berlaku sesuatu peristiwa yang tidak baik itu, untuk pulih itu ambil masa yang lama untuk pulih,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, susulan kejadian 13 Mei 1969 sekalipun, masyarakat masih belum pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.
“Hubungan kita masih ada curiga mencurigai, pemulihan itu masih tidak sempurna seperti dahulu.
“Kalau boleh kita harus lebih bertanggungjawab sebagai rakyat dan pihak berkuasa perlu bertindak cepat serta tegas bagi membendung perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak ada sesetengah pihak yang menahan lukah di pergentingan ketika insiden di kuil, mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita tahu keadaan sudah begitu genting dengan isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).
“Ditambah kes di kuil, ini boleh mencetus peristiwa 13 Mei tapi terima kasih kepada semua kerana kita waras lagi,” katanya.
Tegasnya, kejadian di kuil itu tidak sepatutnya berlaku dan semua pihak perlu mengambil iktibar atas insiden malang tersebut.
[ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan di kuil, kawasan sekitar terkawal]
[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak kompromi pihak ganggu gugat keharmonian negara]
[ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba cedera, jentera dirosakkan]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!